arena

Anderson kejutkan Thiem

Washington: Pemain Afrika Selatan, Kevin Anderson (gambar) mengecewakan pilihan utama, Dominic Thiem manakala pilihan kedua dari Jepun, Kei Nishikori mengatasi juara lalu untuk mara dalam saingan ATP Terbuka Citi.

Semangat Anderson tidak padam biarpun perlawanan ditangguhkan tiga jam akibat hujan dan berjaya menyelamatkan mata perlawanan sebelum melakukan ace ke-21 untuk menewaskan Thiem 6-3, 6-7 (6/8), 7-6 (9/7) dalam tempoh dua jam 46 minit untuk mara ke suku akhir di Washington.

“Dia berjaya mematahkan servis saya pada set ketiga dan saya melakukan beberapa servis hebat,” kata Anderson.

“Saya melakukan servis pertama dengan baik dan mampu bangkit dalam perlawanan.”

Thiem yang beraksi dalam kejohanan gelanggang keras menjelang Terbuka AS terus mencatat rekod kekalahan 0-6 di tangan Anderson, semuanya di gelanggang keras tetapi berjaya merampas satu set daripada lawannya buat kali kedua sepanjang kariernya.

“Secara umumnya saya tidak suka menentang pemain yang mempunyai servis kuat. Apa yang boleh saya buat. Undian tidak memihak saya apabila bertemu dengannya di set kedua,” kata Thiem.

“Ini satu daripada kekalahan teruk bagi saya. Saya tidak boleh teruskan sepanjang permainan. Bukan mudah untuk beralih ke gelanggang keras selepas cuti panjang.”

Nishikori, juara Washington 2015 menewaskan juara tiga kali Juan Martin Del Potro 6-4, 7-5, untuk kemenangan keduanya daripada tujuh pertemuan dengan pilihan ke-13 dari Argentina itu.

“Kedua-dua kami agak ketinggalan pada set pertama namun pada set kedua saya bermain dengan hebat apatah lagi berjaya membalas pukulannya dengan baik,” kata Nishikori.

Nishikori yang menamatkan aksinya pada awal pagi akan berdepan pemain wildcard dari Amerika Syarikat Tommy Paul selepas ini.

“Ia tidak masuk akal,” kata Nishikori mengenai jadual perlawanan.

“Bukan mudah untuk kembali pulih. Perlawanan esok agak lewat jadi saya perlu bersedia.”

Paul yang tidak pernah menentang Nishikori, menewaskan pilihan ketujuh Lucas Pouille dan pilihan kesebelas Gilles Muller.

“Dia bermain dengan baik. Servis dan pukulan kilasnya hebat,” kata Nishikori. -AFP

Disiarkan pada: August 5, 2017 @ 2:23am
d