arena

Lallana rehat panjang

Oleh AFP

London: Pemain tengah Liverpool, Adam Lallana tidak akan dapat beraksi selama beberapa bulan selepas berdepan masalah paha, kata pengurus Juergen Klopp.

Pemain antarabangsa England berusia 29 tahun itu cedera ketika aksi pramusim menentang Atletico Madrid di Munich.

“Ini adalah khabar yang kami tidak ingin dengar,” kata Klopp di dalam laman web (www.liverpoolfc.com).

“Malangnya kecederaan yang dialami Adam bermakna dia tidak boleh bermain selama beberapa bulan dan bukannya minggu. Justeru, saya tidak fikir dia boleh bermain pada Ogos serta September.

“Bagaimanapun, kami akan memantau perkembangannya. Dia seorang pemain yang memiliki sikap terpuji serta profesional dan dia selalu pulih lebih cepat berbanding tempoh yang disebut doktor.”

Lallana menyertai Liverpool dari Southampton pada Julai 2014 dan menjaringkan lapan gol musim lalu.

Dia akan terlepas aksi pembuka musim menentang Watford pada 12 Ogos, tiga hari sebelum perlawanan playoff pertama Liga Juara-Juara bertemu Hoffenheim.

Disiarkan pada: August 6, 2017 @ 4:09am
d