arena

Marquez lebar jurang

Oleh Reuters

Brno, Republik Czech: Penyandang juara dunia MotoGP dari Honda Marc Marquez (gambar) memenangi perlumbaan kedua berturut-turut dan ketiga musim ini di Grand Prix Republik Czech semalam, melebarkan jurang sebagai pendahulu kejuaraan manakala rakan sepasukannya Dani Pedrosa di tangga kedua.

Berdepan hujan renyai di litar Brno, pelumba bermula dengan menggunakan tayar basah tetapi sebaik trek semakin kering, Marquez muncul yang pertama menukar tayar dan tindakan itu berbaloi apabila pelumba Sepanyol itu jauh mendahului pencabarnya.

“Kejuaraan ini akan menjadi lebih panjang dan mencabar tapi 25 mata ini amat penting,” kata Marquez yang kini mendahului 14 mata di tangga teratas.

Pelumba Yamaha Maverick Vinales melengkapkan podium manakala rakan sepasukannya yang juga pelumba veteran Valentino Rossi mendahului perlumbaan sejak awal namun pertukaran motosikal yang mengambil masa membawa padah kepadanya apabila pelumba itu menamatkan perlumbaan di tempat keempat.

“Pada pusingan pertama sukar untuk menyesuaikan diri dengan keadaan tayar. Kami menjalankan tugas dengan baik dan selepas hujung minggu yang mencabar, kedudukan podium sudah memadai,” kata Vinales.

Pemenang tahun lalu Cal Crutchlow yang menunggang LCR Honda menduduki tangga kelima.

Marquez mengumpul 154 mata manakala Vinales di tempat kedua kejuaraan dengan 140 diikuti pelumba Ducati Andrea Dovizioso, yang menamatkan perlumbaan di tempat keenam, dengan 133. - Reuters

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 10:51am
d