arena

Cukup bermakna!

Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemangku jurulatih Pahang Ahmad Shaharuddin Rosdi percaya kedudukan kedua akan menjadi milik skuad itu sebaik saingan Liga Super beraksi musim ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, kemenangan 2-1 ke atas Kedah kelmarin, begitu bermakna selepas aksi tidak konsisten yang dipersembahkan sebelum ini.

Katanya, kemenangan besar 6-0 ke atas Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) FC dalam saingan Piala Malaysia menyuntik semangat buat pemainnya untuk mengekalkan aksi cemerlang.

“Saya gembira dengan kemenangan ini untuk merapatkan jurang mata dengan Kedah dengan perbezaan satu mata dalam memburu kedudukan kedua liga musim ini.

“Dengan baki tiga perlawanan serta rehat sebulan ini, saya akan memastikan prestasi pasukan jauh lebih baik untuk merekodkan kemenangan dalam baki saingan liga,” katanya.

Pada perlawanan itu, gol kemenangan Pahang dijaringkan Yamil Romero dan Matheus Alves, masing-masing minit ke-64 dan 80 manakala gol tunggal Kedah disumbangkan oleh Shafiq Ahmad.

Sementara itu, jurulatih Kedah Nidzam Adzha Yusoff berkata, faktor kekalahan kepada skuad Tok Gajah lebih kepada kesilapan mudah yang dilakukan jentera pertahanan skuad itu.

Namun katanya, kekalahan itu diharap memberi pengjaran terbaik untuk memastikan skuad Helang Merah mengekalkan kedudukan di tangga kedua musim ini.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 11:10am
d