arena

Cabaran pesilat

Oleh Azlan Muhammad Zain

Kuala Lumpur: Pesilat negara tidak mempunyai pilihan selain mencapai sekurang-kurangnya lapan emas yang ditetapkan Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA) di Sukan SEA.

Jelas Setiausaha Agung PESAKA Datuk Megat Zulkarnain Omar Din, ia bukan sesuatu yang mudah namun perlu dilaksanakan demi negara.

“Mereka perlu berkorban dan melakukan apa saja demi negara. Saya tidak menafikan mereka tertekan namun apabila masuk ke gelanggang, perlu menang.

“Tiada alasan mereka tidak boleh memikul amanah ini kerana saya sudah mengingatkan, mereka mempunyai pilihan untuk mengundur diri kerana ramai lagi yang mahu menjadi pesilat negara,” jelasnya.

Malaysia menghantar pesilat terbaik termasuk juara dunia Al Jufferi Jamari dan Siti Rahmah Mohamed Nasir dalam merealisasikan sasaran lapan emas itu.

Mereka menjalani latihan padat termasuk mengorbankan sambutan Aidilfitri apabila dihantar berlatih di Vietham bulan lalu.

“Tiada kompromi kerana mereka sudah diberitahu awal supaya bersedia dengan latihan lasak dan tekanan sebagai atlet. Saya yakin mereka mampu mencapainya,” jelasnya.

Pencak silat akan berlangsung di KLCC dari 24 hingga 29 Ogos menawarkan 20 emas secara keseluruhan.

Disiarkan pada: August 7, 2017 @ 11:30am
d