arena

Cadang tukar nama Melaka City

Oleh Nazri Abu Bakar

Melaka: Selepas Persatuan Bolasepak Melaka (MAFA) ditukar kepada Persatuan Bolasepak Melaka United (MUSA) pada 2013, pengurusan skuad itu sekali lagi bercadang menjenama badan bola sepak berkenaan buat kali kedua tidak lama lagi.

Jika semua berjalan lancar, kali ini MUSA akan dikenali sebagai Persatuan Bolasepak Melaka City (MCFC) yang bersaing dalam Liga Malaysia.

Timbalan Presiden MUSA, Datuk Yusoff Mahadi (gambar) berkata, pendekatan itu antara usaha positif menyemarakkan sokongan peminat, sekali gus mendorong kepada perubahan yang lebih agresif.

Menurutnya, Melaka City lebih menggambarkan kedudukan bandar raya itu di mata dunia berbanding Melaka United (MU) walaupun ia juga di bandar raya yang sama.

“Jika Melaka City ia lebih menjurus kepada lokasi atau venue bandar raya berkenaan sementara MU tiada posisi khas pada pandangan umum, walaupun perkataan Melaka pada bahagian depan persatuan terbabit.

“Bagaimanapun, ia satu cadangan dan perancangan terkini yang cuba dilakukan MUSA untuk faedah dan kebaikan bersama dalam pengurusan bola sepak negeri,” katanya.

Beliau berkata, keputusan akhir hanya terletak di tangan presiden MUSA yang juga Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 10:35am
d