arena

TM komited nyata sokongan

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Menara Telekom Malaysia (TM) setinggi 77 tingkat menjadi saksi debaran Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 semakin dirasai apabila Larian Obor yang berlangsung di sekitar bangunan itu mendapat sambutan luar biasa daripada kakitangan TM semalam.

Lebih menarik acara yang mendapat liputan meluas peminat sukan tanah air itu turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Seri Mohammed Shazalli Ramly, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Bazlan Osman dan Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan, Izlyn Ramli.

TM yang juga penaja platinum bagi temasya dwitahunan itu membuktikan sambutan luar biasa dan sokongan padu yang diberikan kakitangannya pada majlis semalam mampu menjadi contoh terbaik buat seluruh rakyat Malaysia untuk ‘Bangkit Bersama’ menyokong kontinjen negara.

Seramai 400 lebih kakitangan TM berkumpul seawal jam 8 pagi di perkarangan lobi utama Menara TM dan mengenakan kemeja-T Team Malaysia (belang Harimau Malaya) bagi menunjukkan sokongan tidak berbelah-bagi kepada acara Larian Obor serta tanda pembakar semangat buat atlet negara yang akan mengambil bahagian di temasya terbesar Asia Tenggara itu.

Selepas melakukan sesi merenggangkan badan dan berlatih buat kali terakhir acara sokongan yang diberikan kepada pelari Larian Obor, semua kakitangan dibahagikan kepada empat kumpulan untuk berada di empat hentian berasingan di sekitar laluan utama Menara TM.

Sebaik saja obor itu tiba dari TNB Bangsar di hadapan Balai Polis Pantai (hentian pertama), atlet paralimpik negara, Janudin Taib dari petanque menyerahkannya kepada Izlyn yang menjadi pelari pertama Kumpulan TM, sebelum ia diarak sepanjang 100 meter untuk diberikan kepada pelari kedua, Bazlan.

Selepas itu obor dibawa ke perkarangan lobi untuk dipamerkan kepada semua kakitangan dan pengunjung yang hadir selama 15 minit, sebelum Shazalli yang juga pelari ketiga menyerahkan kepada Naib Presiden Eksekutif TM Enterprise, Wan Ahmad Kamal Wan Halim di hentian keempat (Stesen LRT Kerinchi).

Acara Larian Obor membabitkan Kumpulan TM berakhir dengan Wan Ahmad Kamal menyerahkan obor kepada Pengerusi Kelab Komuniti, Sukan dan Rekreasi Lembah Pantai, Nazri Abdul Rahman, sebelum ia diarak ke KL Gateway, stesen minyak PETRONAS Pantai Dalam, Lebuhraya NPE dan Ajinomoto (M) Berhad (AMB).

“TM adalah penaja platinum untuk Sukan SEA kali ini selain memainkan peranan penting bagi memastikan penyediaan infrastruktur telekomunikasi di semua lokasi pertandingan. TM juga melakukan inisiatif dengan memperkenalkan Team Malaysia (pasukan sorak rasmi atlet negara) sejak 2011.

“Team Malaysia mempunyai pengikut seramai 1.2 juta di laman media sosial dan berperanan untuk menyatukan seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memberi sokongan padu kepada atlet kebangsaan yang berentap di Sukan SEA nanti,” kata Izlyn.

Selain acara Larian Obor, Menara TM juga disemarakkan dengan dendangan lagu semangat yang menjadi sinonim kepada kakitangan TM serta seluruh rakyat Malaysia, Gemuruh Suara.

Kakitangan TM juga berpeluang untuk mengambil gambar berkumpulan, swafoto dan bersalaman dengan maskot Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Rimau yang melakukan penampilan khas di sekitar perkarangan lobi.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 1:49pm
d