arena

60 pegawai doping pantau KL2017

Oleh BERNAMA

TIDAK sampai seminggu sebelum Sukan SEA ke-29 (KL2017) bermula menerusi acara bola sepak pelbagai pihak bekerja keras memastikan temasya sukan dwitahunan itu berjalan lancar.

Tidak terkecuali Agensi Anti-Doping Malaysia (Adamas) yang bertanggungjawab memantau penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet negara pada temasya dirasmikan pada 19 Ogos.

Pengarah Adamas Datuk Dr Ramlan Abdul Aziz dalam temu bual khas baru-baru ini, memaklumkan seramai 60 pegawai Adamas terlatih dikenali sebagai ‘Doping Control Officer’ akan bertugas mengambil sampel atlet negara dalam beberapa sukan terpilih.

Semua pegawai terbabit bertanggungjawab memantau penggunaan doping atlet negara di enam kluster yang telah ditetapkan dan mereka akan dibantu oleh beberapa orang pegawai pengiring yang dipilih Jawatankuasa Sukan Malaysia (MASOC).

Kluster terbabit adalah Bandar Sukan Kuala Lumpur di Bukit Jalil; Pusat Konvensyen Kuala Lumpur; Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa (MITEC) di Jalan Tuanku Abdul Halim; Putrajaya; Velodrom Nasional di Nilai, Negeri Sembilan dan dua kluster sampingan di kawasan Kuala Lumpur serta di Shah Alam dan Klang.

“Seramai 10 ‘Doping Control Officer’ Adamas akan bertugas di setiap kluster untuk mengambil sampel secara rawak beberapa sukan tertentu,” katanya.

Dr Ramlan memaklumkan Adamas diletakkan di bawah Jawatankuasa Perubatan dan Anti-Doping pada Sukan SEA kali ini.

Jelasnya, bagi memastikan penggunaan bahan terlarang dalam kalangan atlet tidak berlaku pada edisi kali ini, Adamas turut bekerjasama dengan agensi antidoping dari negara yang bertanding seperti Singapura, Vietnam, Thailand dan Indonesia selain kehadiran beberapa pemerhati bebas dari luar negara untuk memantau proses ujian doping yang dijalankan semasa berlangsungnya Sukan SEA 2017.

Media tempatan melaporkan bahawa seramai 500 orang atlet negara termasuk Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin telah lulus dalam ujian doping yang dijalankan Adamas sebelum bermulanya Sukan SEA 2017.

Ia membuktikan Malaysia selaku penganjur jelas tidak berkompromi dengan sebarang penggunaan bahan terlarang.

Mengulas lanjut, Dr Ramlan yang pernah menjadi Ketua kontinjen Malaysia ke Sukan SEA ke-25 di Laos berkata atlet Paralimpik negara yang mengambil bahagian pada Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur dari 17-23 Sept ini juga tidak terkecuali daripada ujian doping bagi memberi keadilan kepada semua pihak.

“Hal ini kerana, kita menganggap mereka (atlet paralimpik) adalah atlet berprestasi tinggi, jadi semua tatacara dan nasihat yang diberi adalah sama antara antara atlet normal dan atlet paralimpik, tidak ada beza.

“Cuma, kita kena berhati-hati dengan penggunaan ‘Therapeutic Use Exemption’ (TUE) kerana ada dalam kalangan atlet paralimpik berkenaan mempunyai penyakit seperti kencing manis dan sebagainya, mereka memerlukan ubat-ubatan khas,” tegasnya.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 5:44pm
d