arena

Tak sabar uji Singapura

Oleh Firdaus Hashim

PENGENDALI skuad bola sepak wanita negara, Mohd Asyraaf Fong Abdullah mengintai kemenangan apabila pasukan kendaliannya turun berdepan pasukan Singapura pada aksi persahabatan antarabangsa berstatus ‘A’ di Stadium Mini Universiti Teknologi Mara (UiTM) di Shah Alam, malam esok.

Asyraaf yang juga Pengarah Pusat Sukan Universiti Malaysia Sabah (UMS) berkata, keputusan positif dalam aksi pemanas badan terakhir menjelang aksi sulung berdepan Filipina pada saingan Sukan SEA di Kuala Lumpur Selasa depan mampu menaikkan semangat dan motivasi anak didiknya itu.

“Tiada siapa mahukan kekalahan begitu juga kami. Walaupun ianya sekadar aksi persahabatan namun saya mahu pemain berusaha mencipta kemenangan sebagai pembakar semangat sebelum beraksi di Sukan SEA minggu depan.

“Saya akan menurunkan kesebelasan terbaik pada perlawanan malam esok (malam ini) dan kami akan pergi (beraksi) untuk menyerang,” katanya pada sidang media pra-perlawanan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) di Kelana Jaya, semalam.

Jelasnya lagi, segala kelemahan yang dikenal pasti terutama ketika tumbang 0-2 kepada India dalam aksi persahabatan di Stadium Majlis Perbandaran Selayang minggu lalu sudah diperbaiki dan berharap ianya akan diterjemahkan pemain di atas padang.

“Antara kelemahan kami ialah ketika bertahan dan kami juga bahagian serangan yang agak tumpul sebelum ini.

“Sepanjang latihan minggu lalu kami sudah mempertingkatkan keyakinan menyerang yang lebih efektif serta berharap pemain akan lebih yakin ketika mengawal bola pada aksi itu,” katanya.

Sementara itu, Singapura yang tidak bertanding pada temasya dwitahunan itu nanti tetap serius menghadapi aksi persahabatan yang turut menawarkan mata ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) kepada mereka.

“Sebelum majlis undian Sukan SEA tempoh hari kami sudah menarik diri daripada bertanding. Walaupun kami bukan salah satu pencabar pada saingan itu nanti, saya tidak akan beri laluan mudah kepada pasukan Malaysia.

“Buktinya pada aksi persahabatan menentang Macau malam tadi (malam kelmarin), pasukan saya berjaya mencatat kemenangan 3-0 dan kami sudah bersedia bertemu Malaysia,” kata pengendali Singapura, K Balagumaran.

Skuad negara yang menyasarkan pingat gangsa bakal diuji Filipina pada 15 Ogos ini, diikuti Myanmar (17 Ogos), Thailand (20 Ogos) dan Vietnam (24 Ogos) di mana format liga sepusingan digunakan pada edisi kali ini.

Disiarkan pada: August 8, 2017 @ 8:52pm
d