arena

Farkhan mahu cipta sejarah

Oleh Aida Adilah Mat

Kuala Lumpur: Sebagai atlet senior dalam skuad judo Mohd Farkhan Uzair Mohd Fikri mengakui dia mengalas tugas berat untuk memartabatkan sukan itu di negara ini.

Farkhan, 21, berkata dia akan berusaha sebaik mungkin untuk menghadiahkan emas kepada negara bagi membuka mata ramai pihak sukan judo mempunyai potensi besar untuk diketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Beraksi dalam kategori bawah 73 kilogram, Farkhan menegaskan peluang berkampung di Mongolia selama dua bulan dan menyertai Terbuka Taiwan memberi pengalaman berharga menjelang temasya Sukan SEA Kuala Lumpur minggu depan.

“Saya sudah bersedia. Segala persiapan sudah dibuat dan saya perlu berusaha untuk menghadiahkan emas kepada negara.

“Saya bersama rakan pasukan yang lain menggalas tanggungjawab besar dan sebagai senior dalam pasukan ini, hanya emas mampu mengubah persepsi orang luar,” katanya.

Atlet berasal dari Kedah itu menegaskan dia kini sudah tidak sabar beraksi dan biarpun mengakui judo kurang mendapat pendedahan berbanding sukan seni mempertahankan diri lain seperti silat mahupun karate.

“Tapi senario itu tidak menjejaskan semangat kami untuk bertanding dan memberikan yang terbaik.”

Begitupun perhatian perlu diberikan kepada lawan dari Thailand dan Indonesia yang dilihat pencabar utama dalam sukan itu.

Di Singapura, dua tahun lalu skuad judo negara menghadiahkan lima gangsa dan kali ini sasaran tidak banyak berubah apabila sekadar mengintai dua gangsa.

Pencapaian terbaik skuad judo negara adalah meraih satu emas ketika temasya Sukan SEA 1981 Manila.

Disiarkan pada: August 9, 2017 @ 10:36am
d