arena

Coutinho kekal bersama Reds

LIVERPOOL menolak bidaan kedua daripada Barcelona terhadap pemain perancang berpengaruh Brazil, Philippe Coutinho bernilai 100 juta euro (RM504 juta), lapor media Britain semalam.

Barcelona terdesak untuk mendapatkan khidmat pemain berusia 25 tahun itu bagi menggantikan rakan senegara dari Brazil, Neymar yang dijual dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.1 bilion) kepada Paris Saint-Germain minggu lalu.

Bagaimanapun, BBC melaporkan Liverpool sekali lagi memberitahu Barcelona bahawa Coutinho, yang dibeli dari Inter Milan pada 2013, tidak akan dijual.

Akhbar Liverpool Echo menyatakan semalam: “Liverpool memberitahu Barca mereka hanya membuang masa jika tampil dengan tawaran ketiga dan yakin Coutinho tidak akan menjadi pengganti Neymar di Nou Camp.”

Barcelona percaya pemain kebangsaan Brazil itu mempunyai keupayaan bukan setakat menggantikan Neymar dan bergandingan dengan Lionel Messi dan Luis Suarez sebagai trio serangan namun mampu menjadi pelapis kepada kapten berusia 33 tahun Andres Iniesta di bahagian tengah.

Pengurus Liverpool, Juergen Klopp memberitahu Barcelona pemain itu bukan untuk dijual minggu lalu.

Namun pemain itu diketepikan daripada skuad Liverpool ketika menang ke atas Athletic Bilbao pada aksi persahabatan di Dublin hujung minggu lalu ketika kecederaan belakang dilihat pasti menyebabkannya terpaksa dipinggirkan bagi aksi pertama kelab itu dalam Liga Perdana Inggeris menentang Watford, Sabtu ini.

Sekiranya Barcelona gagal memikat Coutinho beraksi di Sepanyol, mereka dijangka mengalih tumpuan kepada bintang muda Perancis, Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund.-AFP

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 8:59am
d