arena

Ramuan baru Guardiola

Oleh AFP

London: Tergugat dengan prestasi mengecewakan pada musim pertamanya di England, Pep Guardiola membuat perancangan rapi untuk meletakkan kembali Manchester City sebagai juara Liga Perdana Inggeris.

Harapan yang diletakkan terhadap Guardiola di Manchester begitu tinggi selepas bertahun lamanya City cuba mendapatkannya tetapi cabaran itu tidak menjadi kenyataan apabila pulang tangan kosong dalam semua kejohanan.

Mereka kembali ke kancah saingan hujung minggu ini selepas berbelanja sekitar £200 juta (RM1.115 bilion) untuk membeli pemain dan Guardiola percaya pihaknya sudah mula membentuk barisan skuad baru.

“Musim lalu kami adalah antara pasukan tertua di Liga Perdana. Kami tidak membeli pertahanan selama lima atau enam tahun,” kata Guardiola.

“Kami memutuskan musim lalu untuk mengubah pasukan untuk menjadikan mereka lebih muda untuk empat atau lima tahun lagi.

“Danilo berusia 26, (Benjamin) Mendy 23, Bernardo (Silva) 22, Ederson 23, jadi kami membeli pemain yang pastinya stabil untuk beberapa tahun lagi.”

Musim lalu memberikan beberapa petanda positif, bermula dengan 10 kemenangan berturut-turut, kemenangan Liga Juara-Juara ke atas Barcelona tetapi City gagal meneruskan konsistensi.

Guardiola tampaknya kurang bersedia untuk aksi bola sepak Inggeris yang lebih fizikal dan dicemuh kerana berkata beliau ‘bukannya jurulatih untuk melakukan terjahan’ selepas kekalahan 2-4 kepada Leicester City.

Aksi bola sepak City sememangnya menakjubkan kerana hanya tewas kepada Chelsea dan Tottenham Hotspur tetapi mencari barisan pertahanan yang mantap ternyata memeningkan Guardiola.

John Stones masih gugup selepas dibeli pada harga tinggi daripada Everton dan rasa tidak puas hati Guardiola terhadap pertahanannya menyebabkan pemain tengah Fernandinho dan Jesus Navas turut diletakkan dalam posisi bertahan.

Pemain juga tidak diletakkan dalam posisi yang janggal buat mereka apabila Guardiola membawa masuk tiga pertahanan hebat – Kyle Walker, Benjamin Mendy dan Danilo – dengan kos berjumlah £124 juta (RM691.7 juta).

Guardiola juga berharap dapat mengatasi masala penjaga gol, meringankan beban Claudio Bravo dengan membawa masuk penjaga gol Brazil Ederson dari Benfica dengan kontrak bernilai £35 juta (RM195.2 juta).

Bernardo Silva yang dibawa masuk dari Monaco, mengukuhkan barisan serangan yang turut dibarisi Sergio Aguero, Gabriel Jesus, Leroy Sane, David Silva, Kevin De Bruyne dan Raheem Sterling.

“Di atas kertas Manchester City mempunyai pasukan terbaik,” kata bekas pemain tengah England Owen Hargreaves menerusi laman web rasmi Liga Perdana Inggeris.

“Pep Guardiola terpaksa bekerja keras untuk melakukan rombakan tetapi City adalah pasukan pilihan saya.”

Penjaga gol sokongan Willy Caballero, pertahanan Pablo Zabaleta, Bacary Sagna dan Gael Clichy serta Jesus Navas dan Nolito meninggalkan kelab itu manakala Joe Hart yang tidak lagi mendapat perhatian kini dipinjamkan pula ke West Ham United.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 8:59am
d