arena

Giroud tak mungkin ke Marseille

Oleh AFP

PENGURUS Marseille, Rudi Garcia mengakui Olivier Giroud mampu menjadi penjaring gol sempurna buat kelab Perancis itu tetapi percaya penyerang Arsenal itu mahukan cabaran lebih besar.

“Saya tak rasa dia ingin ke Marseille,” kata Garcia kepada akhbar harian sukan L’Equipe.

Giroud memiliki profil sesuai tetapi Garcia mengakui pemain kebangsaan Perancis itu mungkin mempunyai minat berbeza berbanding Marseille.

Giroud, 30, dikaitkan dengan spekulasi berpindah dari Arsenal selepas rekod perpindahan rakan penyerang senegara, Alexandre Lacazette. Musim lalu, dia hanya memulakan 17 perlawanan buat kelab London itu.

“Giroud pemain kebangsaan Perancis, dia bermain dengan Arsenal dan nampaknya akan bertukar kelab. Ini menunjukkan masih ada halangan buat kami muncul antara kelab yang menarik,” kata Garcia.

“Kami ada sikit kekurangan dalam mendapatkan pemain bagus. Kami tidak mahu orang bermimpi dan memikirkan kami akan mengambil pemain yang bagus.”

Garcia membalas kenyataan Presiden Marseille, Jacques-Henri Eyraud bulan lalu bahawa kelab itu tidak berupaya bersaing dengan ‘harga gila’ yang dibayar kepada pemain ketika jendela perpindahan pemain pada musim panas kali ini.

Marseille yang memulakan musim Ligue 1 minggu lalu dengan kemenangan 3-0 ke atas Dijon, membeli empat pemain bagi musim baru, pertahanan Adil Rami, penjaga gol Steve Mandanda, pemain tengah Luiz Gustavo dan penyerang Valere Germain.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 9:19am
d