arena

Federer, Nadal lepasi halangan awal

Oleh AFP

Montreal: Roger Federer percaya dia meraih faedah hasil rehat sementara daripada tenis selepas mencatat kemenangan selesa pada pusingan pertama kejohanan Masters Montreal dalam Jelajah ATP yang memberikannya permulaan terbaik bagi semusim sejak 2006.

Bintang Switzerland itu, yang meraikan hari jadi ke-36 Selasa lalu, menyingkirkan pemain nombor 116 dunia dari Kanada, Peter Polansky 6-2, 6-1 dalam hanya 53 minit untuk menempah tiket ke pusingan kedua.

Menyertai Federer ke pusingan 16 terakhir pilihan utama dan musuh lama Rafael Nadal, yang turut menang mudah pada aksi pembukaannya.

Nadal, yang akan merampas tempat Andy Murray sebagai pemain nombor satu dunia jika dia layak ke separuh akhir di Montreal minggu ini, membenam pemain muda Croatia, Borna Coric 6-1, 6-2.

Federer mampu bermegah selepas tahun menakjubkan apabila dia menang Terbuka Australia dan Wimbledon.

Menerusi bukti aksi semalam, tidak ramai akan bertaruh menentangnya menokok kejuaraan pada Terbuka AS selepas persembahan cemerlang yang menyebabkan Polansky langsung tidak mampu melawan.

Kemenangan berat sebelah itu menjadikan rekodnya musim ini kepada 32-2, permulaan terbaik kempennya sejak 2006 apabila dia bermula dengan 38-2 dan mengakhiri tahun itu di kedudukan nombor satu dunia.

Federer mengakui persembahan bertenaga itu disebabkan dia kembali cergas sepenuhnya selepas pembedahan lutut pada 2016 dan berehat selama dua bulan awal tahun ini.

“Saya fikir kuncinya adalah disebabkan saya sebenarnya amat sihat dan cergas,” kata Federer.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 9:52am
d