arena

Wenger, penyokong berdamai

Oleh AFP

ARSENE Wenger akhirnya berdamai dengan peminat Arsenal selepas memenangi Piala FA namun dia tidak boleh melakukan sebarang kesilapan menjelang perlawanan pembuka tirai Liga Perdana Inggeris menentang Leicester City, awal pagi Sabtu ini.

Musim lalu adalah detik paling sukar buat Wenger sepanjang 21 tahun menjadi pengurus dengan persembahan naik turun Arsenal menyebabkan dia dikritik teruk penyokong kelab.

Selepas menamatkan spekulasi dengan menandatangani kontrak baru selama dua tahun, dia berkata, jika pasukannya bersatu di hadapan, penyokong akan beratur sebaris di belakang mereka.

“Banyak perkara (masalah) terbentuk dengan situasi saya sendiri. Mungkin saya melakukan kesilapan,” katanya selepas Arsenal menewaskan Chelsea menerusi penentuan penalti pada perlawanan Perisai Komuniti, hujung minggu lalu.

“Secara keseluruhan, ia bergantung kepada kami untuk menangani segala cabaran,” katanya.

Bagaimanapun masalah Wenger membabitkan beberapa pemain utama.

Alexis Sanchez, Mesut Ozil, Alex Oxlade-Chamberlain dan Jack Wilshere antara pemain yang kontraknya tamat pada penghujung musim ini.

Sanchez terutamanya paling banyak dikaitkan dengan spekulasi mengenai masa depannya dan dilaporkan menarik minat Manchester City dan Paris Saint-Germain.

Penyerang Chile itu terlepas perlawanan pra musim selepas diberikan cuti tambahan susulan penyertaannya dalam Piala Konfederasi dan tidak akan diturunkan pada perlawanan awal pagi Sabtu ini susulan masalah kekejangan perut.

Selepas Wenger menggunakan formasi 3-4-2-1, Arsenal memenangi tujuh daripada lapan perlawanan terakhir liga dan mengejutkan Chelsea 2-1 pada final Piala FA, musim lalu.

Ozil juga diragui akan diturunkan pada perlawanan menentang Leicester, begitu juga Aaron Ramsey, Per Mertesacker dan Shkodran Mustafi manakala Laurent Koscielny digantung.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 12:56pm
d