arena

Bebas ancaman denggi

Oleh Azlan Muhammad Zain

PENGARAH Kesihatan Negeri Sembilan Dr Zainudin Mohd Ali menolak sebarang kebimbangan berhubung ancaman denggi di sekitar Velodrom Nasional Malaysia, Nilai.

Katanya, kawasan velodrom berkenaan adalah terkawal dan bebas daripada sebarang penyakit denggi.

“Walaupun keputusan kajian ovitrap yang dijalankan di luar velodrom adalah tinggi, ia adalah sesuatu yang sudah dijangkakan dari awal.

“Ini kerana tapak berkenaan adalah yang dibersihkan dari kawasan hutan dan semak-samun yang menjadi habitat asal nyamuk aedes albopictus.

“Langkah cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk, pewasapan, ‘larvaciding’ dan ‘abating’ dilaksanakan sejak awal bulan ini dan diulangi esok (hari ini) mengikut jadual yang ditetapkan selain tiga hari sebelum acara berbasikal di velodrom berlangsung,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai kebimbangan yang disuarakan pengurus skuad berbasikal negara Omar Saad berhubung kadar pembiakan nyamuk di sekitar velodrom itu sebelum ini.

Menurut Zainudin, sehingga kini belum ada sebarang kes denggi dilaporkan di kawasan sekitar velodrom dengan kes terdekat adalah 500 meter dari venue pertandingan yang berlaku pada Mei lalu.

“Kami sudah dan akan menjalankan semua prosedur yang ditetapkan dalam memastikan tiada sebarang masalah dan perkara tidak diingini berlaku semasa temasya berlangsung.

“Saya berharap tiada lagi kebimbangan kepada semua pihak dengan semuanya adalah terkawal sepenuhnya. Namun sebagai langkah tambahan, penonton digalakkan mengenakan pakaian lengan panjang terutamanya pada waktu senja (5 petang - 7 malam) sekiranya terdapat acara berakhir lewat kerana ia adalah tempoh nyamuk sangat aktif,” tambahnya.

Velodrom tertutup pertama negara itu akan menyaksikan penampilan jaguh dunia Azizulhasni Awang serta barisan pelumba trek negara yang lain.

Kawasan luar velodrom akan mempertandingkan acara BMX.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 5:35pm
d