arena

Teruja aksi Sukan SEA

Oleh Saiful Affendy Sapran

MESKIPUN pernah beraksi di peringkat tertinggi termasuk Piala Dunia, penyerang skuad senior hoki lelaki negara Tengku Ahmad Tajuddin Abdul Jalil tetap teruja untuk membantu Malaysia memenangi pingat emas di Sukan SEA Kuala Lumpur.

Bagi pemain berusia 31 tahun itu, walaupun taraf Sukan SEA jauh lebih rendah berbanding beberapa kejohanan besaf yang disertainya, tanggungjawab untuk memastikan emas kekal milik Malaysia perlu diambil berat.

“Sebenarnya tiada yang perlu dibimbangkan untuk Sukan SEA sebab fokus pasukan adalah di kejohanan lebih besar termasuk Piala Asia pada Oktober ini.

“Tapi kita diberi tanggungjawab untuk memenangi emas dan untuk itu kita harus serius menghadapi saingan ini.

“Ini adalah penampilan kedua saya di Sukan SEA selepas di Myanmar pada 2013,” katanya.

Tengku Ahmad Tajuddin yang sudah melakukan lebih 200 penampilan bersama skuad kebangsaan berkata, dia akan terus memberikan yang terbaik pada setiap perlawanan sekiranya khidmatnya diperlukan.

“Saya tak tahu sampai bila bersama skuad negara. Bagi saya, selagi diperlukan, selagi itulah saya akan beri yang terbaik.

“Ketika ini saya juga selesa dapat bekerjasama dengan barisan pemain muda yang lain.

“Mereka mempunyai kesungguhan yang cukup tinggi untuk memenangi emas pada Sukan SEA kali ini,” katanya.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 7:07pm
d