arena

Fathin Faqihah ganti Komalam

Oleh Mohd Khairie Khalid

PELARI muda negara Fathin Faqihah Mohd Yusuf menjanjikan aksi terbaik bagi membalas kepercayaan jurulatih menyenaraikannya dalam skuad 4x100 meter (m) negara ke Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017).

Atlet dari Sabah itu berusia 21 tahun itu menegaskan meskipun dia bukan atlet pecut, sebaliknya pelari jarak jauh (400m dan 4x400m), namun dia sudah bersedia

“Saya akan lakukan yang terbaik. Walaupun tidak pernah berada berada dalam satu pasukan, kami sudah berlatih bersama dan semuanya berjalan lancar.

“Saya gembira dapat berlari untuk acara 4x100m kerana membuktikan pengurusan percaya dengan kemampuan saya,” kata Fathin ketika ditemui sejurus tamat latihan di Stadium Mini Majlis Sukan Negara (MSN) di Kuala Lumpur.

Skuad 4x100m wanita berada dalam konflik apabila pelari ketiga terpantas negara, S Komalam Shally digugurkan kerana masalah disiplin.

Berikutan itu, hanya lima atlet berjuang merebut slot dalam acara berpasukan yang ketika in diketuai ratu pecut negara, Zaidatul Husniah, Siti Fatima Mohamad, Azreen Nabila Alias, Fathin Faqihah dan Norris Foo.​

Fathin berkata, dia mempunyai sasaran peribadi dalam acara berpasukan iaitu catatan 54 saat dalam acara 400m untuk pingat gangsa di KL2017.

Bagi acara berpasukan 4x100m, dia mahu memberi kejutan.

Pada Sukan SEA Singapura 2015, Fathin Faqihah yang hanya beraksi menerusi acara berpasukan, menghadiahkan gangsa menerusi acara 4x400m bersama gandingan Nurul Faizah Asma Mazlan, Zaimah Atifah Zainuddin dan Shereen Samson Vallabouy dengan catatan 3:39.10.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 7:38pm
d