arena

Misi wajib menang

Oleh Firdaus Hashim

DUA aksi awal dalam acara bola sepak wanita di saingan Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 disifatkan sebagai misi wajib menang buat skuad bola sepak negara yang disasarkan untuk meraih pingat gangsa pada temasya kali ini.

Pengendali pasukan Mohd Asyraaf Fong Abdullah berkata, perlawanan sulung berdepan Filipina pada Selasa depan dan Myanmar dua hari kemudian harus berakhir dengan kemenangan.

“Kita sedar kekuatan yang dimiliki pasukan Thailand dan Vietnam. Mereka berada pada kelas tersendiri dan mungkin kita akan berdepan sedikit masalah apabila bertemu mereka.

“Tapi peluang kita agak baik menentang Filipina dan Myanmar kerana itu saya mahu pasukan cuba mendapatkan kemenangan ke atas dua pasukan terbabit.

“Jika kita berjaya, kita akan tampil lebih yakin untuk dua aksi berikutnya sambil berharap pasukan mampu mencuri satu mata sekali gus mencerahkan peluang kita untuk meraih pingat.

“Namun kalau kita gagal raih tiga mata pada aksi pertama dan kedua, mungkin peluang selepas itu agak sukar bagi pasukan,” katanya pada sidang media selepas tamatnya aksi persahabatan antarabangsa menentang Singapura, semalam.

Pada aksi yang berlangsung di Stadium Universiti Teknologi MARA, Shah Alam itu, Malaysia mencatatkan kemenangan 1-0 ke atas Singapura menerusi jaringan Usliza Usman pada minit ke-49.

Disiarkan pada: August 10, 2017 @ 8:23pm
d