arena

Guliyev kecewakan Van Niekerk

Oleh AFP

London: Atlet Turki kelahiran Azerbaijan, Ramil Guliyev merencatkan usaha Wayde van Niekerk untuk melakar kemenangan berganda 200/400m buat kali pertama dalam tempoh 22 tahun apabila dia menewaskan pelari Afrika Selatan itu bagi merebut kejuaraan dunia 200 meter, awal pagi tadi.

Guliyev, yang mendapat kerakyatan Turki pada 2011 dan dibenarkan bertanding buat negara angkatnya dua tahun kemudian, mencatat 20.09 saat untuk memberikan Turki pingat emas sulung pada Kejohanan Olahraga Dunia. Ia juga kali pertama atlet lelaki Turki meraih pingat.

Van Niekerk, 0.02 saat di belakang, menambah pingat perak kepada emas 400m yang dimenanginya Selasa lalu, gagal mengejar Guliyev dengan penamat bertenaga.

Jereem Richards dari Trinidad and Tobago meraih pingat gangsa menerusi penamat ‘photo finish’ di belakang bintang Afrika Selatan itu.

“Ia bukannya kejutan,” tegas Guliyev yang berusia 27 tahun, kemudiannya memperagakan kedua-dua bendera Azerbaijan dan Turki.

“Saya mahu menang dan tahun ini saya fikir ia boleh dilakukan dan akhirnya saya berjaya. Saya percaya dengan diri sendiri.”

Penonton di Stadium London mengejek ketika Guliyev melepasi garisan penamat di depan Van Niekerk, kebanyakannya keluar meninggalkan stadium berbanding meraikan saat kemenangan itu yang menafikan usaha atlet Afrika Selatan itu menyamai pencapaian Michael Johnson, legenda olahraga AS yang menang kejuaraan berganda pada Kejohanan Dunia 1995 di Gothenburg dan kemudian mengulanginya setahun kemudian pada Sukan Olimpik Atlanta.

“Ia minggu yang sukar,” kata Van Niekerk.

“Saya berasa sudah bekerja keras malam ini dan memberikan segala-galanya. Saya sudah buktikan beberapa kali dan berhak dengan apa yang saya capai.

“Ramai juga yang tidak fikir saya berhak dengan semua ini. Saya bekerja keras seperti atlet lain. Saya tidak fikir saya dihormati selepas kejayaan 400m tapi ia hanya satu permulaan dan saya akan mempamerkan penguasaan saya selepas ini.”

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 7:26am
d