arena

Neymar perkuat Samba

Oleh AFP

NEYMAR akan menyertai skuad Brazil bagi kelayakan Piala Dunia 2018 menentang Ecuador dan Colombia bagi tugasan antarabangsa pertamanya sejak berpindah dengan rekod dunia dari Barcelona ke Paris Saint-Germain, menurut jurulatih kebangsaan Tite, awal pagi tadi.

Direhatkan bagi aksi persahabatan Jun lalu - kalah 0-1 kepada Argentina dan menang besar 4-0 ke atas Australia - penyerang berusia 25 tahun itu akan bermain di samping tiga rakan sepasukan barunya di PSG: Marquinhos, Thiago Silva dan Dani Alves.

Tite berkata, drama mengenai perpindahan Neymar “tidak mengubah apa-apa” dalam pasukan Brazil.

Neymar “mencari cabaran baru, tapi apa yang penting dia gembira bermain bola sepak, dia menyesuaikan diri dengan baik dan berkembang ke satu tahap baru,” kata Tite.

Jurulatih itu berkata, Barcelona dan PSG mempunyai “formasi taktikal sama 4-3-3.”

Perubahan utama dalam skuad Brazil adalah kehadiran pemain tengah berbakat Luan Vieira, 24, yang berada dalam skuad pingat emas Olimpik Rio 2016. Dia kini beraksi dengan Gremio di Brazil namun akan berpindah ke Spartak Moscow.

Selepas beberapa tahun yang hambar, Brazil kembali kelihatan berada di tahap terbaik, menyingkirkan Jerman daripada ranking nombor satu FIFA dan Mac lalu muncul negara pertama layak ke Piala Dunia Russia 2018. Sepanjang mengendalikan pasukan itu, Tite sudah meraih lapan kemenangan dalam lapan perlawanan kompetitif.

Brazil berdepan Ecuador pada 31 Ogos ini di Porto Alegre, Brazil dan bertemu Colombia di Barranquilla pada 5 September depan.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 7:57am
d