arena

Federer bukan tandingan Ferrer

Oleh AFP

ROGER Federer mengekalkan rekod kemenangan karier ke atas David Ferrer sebelum layak ke suku akhir kejohanan Masters Montreal hari ini selepas pertarungan tiga set dengan pemain veteran Sepanyol itu.

Federer, 36, tidak pernah tewas dalam 16 pertemuan terakhir dengan Ferrer, 35, yang mana dia menang kali pertama 14 tahun lalu pada kejohanan dalam dewan Vienna.

Namun ketika Ferrer berjaya memenangi set pertama - menamatkan kemenangan 32 set berturut-turut Federer - bintang Switzerland itu bangkit untuk menang 4-6, 6-4, 6-2.

“Saya sebenarnya berasa gembira kerana saya sedar boleh beraksi lebih bagus lagi. David juga boleh beraksi lebih baik daripada ini,” kata Federer. “Kami berjuang, kedua-dua mencari cara untuk menang. Anda tahu, dia bermula dengan bagus, saya mempunyai penamat lebih baik.”

Federer kini akan bertemu seorang lagi pemain Sepanyol, Roberto Bautista Agut pada suku akhir. Bautista Agut menewaskan pemain Perancis, Gael Monfils dalam pertarungan sengit 4-6, 7-6 (7/5), 7-6 (7/2).

“Saya harap perlawanan ini memberikan saya rentak lebih baik dan keyakinan menentang Bautista Agut, yang memiliki corak permainan sama dengan David,” ujar Federer.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 10:17am
d