arena

Al-Jufferi buru emas keempat berturut-turut

Oleh BERNAMA

JUARA silat dunia 2016 Al-Jufferi Jamari menaruh keyakinan tinggi dalam usahanya memburu pingat emas keempat berturut-turut Sukan SEA apabila temasya itu berlangsung di tempat sendiri.

Selepas melakar hatrik memenangi pingat emas di Singapura dua tahun lalu, dia yang akan bertanding dalam acara silat olahraga Kelas Putra E (65-70kg) mahu menghasilkan keputusan terbaik di depan penyokong sendiri pada Sukan SEA Kuala Lumpur 2017.

“Saya sudah berjaya capai hatrik, menang tiga kali berturut-turut dalam temasya Sukan SEA sebelum ini selain hatrik kejuaraan dunia.

“Sasaran saya kini mahu memburu pingat emas keempat berturut-turut pada temasya ini,” katanya.

Al-Jufferi menang tiga pingat emas Sukan SEA berturut-turut bermula di Jakarta pada 2011 diikuti Myanmar pada 2013 dan Singapura dua tahun lalu.

Mengulas mengenai pencabar terdekat, dia berkata, pesilat dari Indonesia dan Vietnam menjadi pencabar utama dalam usahanya mempertahankan pingat emas.

“Bagi saya semua pesaing kuat dan ingin mengalahkan saya tapi yang spesifik adalah dari Indonesia dan Vietnam. Itu memang musuh ketat saya dalam acara ini,” katanya.

Sementara itu, Al-Jufferi yang terpilih sebagai pembawa bendera kontinjen negara bersama jaguh berbasikal trek Azizulhasni Awang dan ratu terjun Cheong Jun Hoong pada majlis pembukaan Sukan SEA ke-29 di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 19 Ogos ini berkata, dia berasa amat bangga dapat menggalas tanggungjawab itu.

“Saya tak pernah terfikir dapat terpilih sebagai pembawa bendera pada upacara perasmian nanti tapi saya berasa amat bangga diberi peluang dan kepercayaan untuk membawa Jalur Gemilang nanti,” ujarnya.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 11:16am
d