arena

Conte mula 'panas'

Oleh AFP

ANTONIO Conte merumuskan tempoh rehat musim yang mengecewakan di Stamford Bridge apabila beliau meragui keupayaan Chelsea mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris kecuali jika pasukan juara itu mencari jawapan pantas mengenai pembelian pemain.

Ditabal juara England hanya tiga bulan lalu, anak buah Conte membuka kempen mereka di laman sendiri bertemu Burnley malam esok dalam keadaan lebih teruk berbanding ketika mereka mengarak trofi Liga Perdana di depan penyokong sendiri Mei lalu.

Sejak itu, pemain tengah Serbia, Nemanja Matic sudah dijual kepada Manchester United dan penyerang Sepanyol, Diego Costa dimaklumkan dia tiada masa depan di kelab itu berikutan pertelagahan mesej teks dengan Conte.

Pengaruh John Terry dalam bilik persalinan sudah tiada berikutan perpindahan pemain veteran itu ke kelab divisyen dua Aston Villa dan skuad itu kelihatan lebih lemah selepas beberapa pemain pinggiran termasuk Nathan Ake dan Kurt Zouma meninggalkan kelab.

Di tempat mereka hadir penyerang Real Madrid, Alvaro Morata, pertahanan AS Roma, Antonio Rudiger dan pemain tengah AS Monaco, Tiemoue Bakayoko.

Namun Conte, bengang dengan kegagalan Chelsea membeli pemain sasaran utama Romelu Lukaku dan Alex Sandro, menegaskan beliau mahu lebih ramai pemain baru.

Kekalahan di tangan Arsenal menerusi penentuan penalti pada aksi Perisai Komuniti hujung minggu lalu tidak begitu bermakna apabila kempen liga bermula tetapi ia tidak mengurangkan tekanan bahawa ketika pencabar utama mereka dilihat lebih kuat, Chelsea berada dalam bahaya jauh ketinggalan.

Conte sudah bercakap mengenai perlunya mengelakkan “musim Mourinho”, merujuk kepada kempen hambar di bawah bekas pengurus itu berikutan kejayaan terakhir kejuaraan Chelsea pada 2015.

Apabila ditanya minggu ini sama ada sukar untuk mempertahankan kejuaraan tanpa lebih banyak pembelian baru, beliau berkata: “Ya, terlalu sukar. Sudah tentu. Liga ini tidak mudah. Anda perlu bersaing menentang pasukan lain.

“Liga ini berbeza berbanding negara lain, yang mana anda akan melihat dua pasukan berentap, di sini anda ada enam pasukan yang amat kuat. Anda perlu bersedia untuk berjuang.”

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 11:36am
d