arena

Percuma tonton kuda lasak

BERNAMA

TIADA bayaran masuk dikenakan kepada pengunjung yang ingin menyaksikan acara kuda lasak Sukan SEA ke-29 di Terengganu International Endurance Park (TIEP) pada 20 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Teknikal dan Sukarelawan LOC (Endurance) KL 2017, Che Mohd Apandi Muhamad berkata, langkah memberikan peluang kepada pengunjung untuk menyaksikan acara itu secara percuma antara lain bertujuan mendedahkan lagi sukan itu.

“Acara endurance (kuda lasak) ini acara yang jarang diceburi jadi apabila sukan ini dianjurkan di Setiu, kami mahu masyarakat tempatan dan Malaysia dapat merasai dan melihat sendiri sukan ini.

“Selain itu juga, mulai 16 hingga 20 Ogos ini kerajaan negeri akan mempromosi acara endurance ini dalam Karnival My Setiu yang turut diadakan di TIEP bermula 10 pagi hingga 10 malam. Karnival ini diadakan untuk menarik pengunjung dan memperkenalkan Terengganu dan Setiu khususnya bersempena Visit Beautiful Terengganu 2017, ” katanya hari ini.

Che Mohd Apandi yang juga pengurus venue TIEP menjangkakan lebih 2,000 pengunjung akan datang memeriahkan dan memberi sokongan kepada pasukan Malaysia yang bertanding.

“Acara endurance ini akan bermula dari jam 5 pagi hingga 3 petang, jadi rakyat Malaysia boleh datang dan tunjukkan sokongan kepada pasukan negara.

“Pada 12 Ogos ini (esok) juga turut diadakan majlis prapelancaran pertandingan kuda lasak Sukan SEA ke-29 di Mini Stadium Kompleks Gong Badak, Kuala Nerus,” katanya.

Berdasarkan rekod, skuad negara meraih dua pingat emas pada Sukan SEA 2013 di Myanmar melalui acara berpasukan lelaki 80 kilometer yang dimenangi Bulkhari Rozali, Asri Abdul Azizi, Halim Alihan, Hisyamuddin Daud dan Sulaiman Muda yang juga penyumbang pingat emas bagi acara 80km individu.

Pencapaian sama turut dicapai oleh Malaysia pada 2001 ketika Malaysia menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-21 dengan pasukan negara muncul sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 111 pingat emas, diikuti oleh Thailand (103 pingat emas) dan Indonesia (72 pingat emas).

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 12:42pm
d