arena

Jurulatih Myanmar juga pilih Malaysia

Oleh Aziman Rosdi

PENGENDALI skuad bola sepak bawah 22 tahun Myanmar, Gerd Zeise, yakin mampu melepasi halangan Kumpulan A bersama Malaysia.

Katanya, pasukan Malaysia kendalian Datuk Ong Kim Swee adalah pencabar terkuat peringkat awal namun mereka juga harus berwaspada dengan ancaman Singapura, Brunei dan Laos.

“Kami tidak boleh ambil mudah pasukan lawan. Malaysia pasukan yang kuat, Singapura OK, kami ada bertemu dengan mereka sebelum ini (menang 2-0 kelayakan AFC B-23). Laos pasukan yang semakin meningkat dan Brunei OK, tidak terlalu kuat.

“Saya harap Malaysia dan Myanmar akan layak ke separuh akhir,” kata Zeise yang ditemui ketika tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) hari ini.

Myanmar antara pasukan pilihan dalam kempen Kumpulan A selepas muncul naib juara dua tahun lalu di Singapura apabila tewas kepada Thailand 0-3 pada aksi final.

“Saya percaya perlawanan Myanmar dan Malaysia pasti menarik kali ini dan saya harap kami dapat melepasi halangan peringkat kumpulan dan mencari tempat ke final,” katanya.

Jurulatih pasukan Filipina, Marlon Maro, juga memilih Malaysia mempunyai kelebihan untuk merangkul pingat emas dalam Sukan SEA kali ini.

Myanmar akan membuka kempen menentang Singapura di Stadium Majlis Perbandaran Selayang Isnin ini.

Skuad The White Angels itu bagaimanapun, gagal melepasi kelayakan Kejohanan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 bulan lalu, serta tewas 0-2 kepada skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee pada perlawanan persahabatan di Stadium Shah Alam, 13 Julai lalu.

Zeise, jurulatih kelahiran Jerman yang turut mengendalikan skuad senior Myanmar bagaimanapun tidak bimbang dengan prestasi anak buahnya.

“Saya membawa pasukan terbaik ke sini meskipun ada beberapa pemain saya mengalami kecederaan. Ketika tewas 0-2 dengan Malaysia, kami tidak bermain dengan baik, keadaan padang juga agak teruk,” katanya.

Disiarkan pada: August 11, 2017 @ 6:28pm
d