arena

Resah tanpa Thanabalan

Shah Alam: Kem skuad bawah 22 tahun negara (B-22) dilanda kebimbangan dengan kecederaan yang menimpa penyerang N Thanabalan pada sesi latihan tiga hari lalu.

Pemain FELCRA FC berusia 22 tahun itu menjadi watak penting ketika Malaysia melepasi saingan kelayakan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) B-23 di Bangkok bulan lalu dengan meledak dua gol dalam tiga perlawanan.

Malah, sejak jurulatih Datuk Ong Kim Swee mengambil alih skuad muda negara itu daripada Frank Bernhardt, prestasi Thanabalan semakin memuncak dengan merekod tujuh gol daripada lapan perlawanan.

Pastinya khidmat pemain kelahiran Seremban itu amat diperlukan, namun Kim Swee masih menunggu keputusan ujian imbasan MRI ke atas lutut kanan Thanabalan yang dilakukan semalam.

“Semua pemain dalam keadaan baik kecuali Thanabalan yang mengalami kecederaan lutut kanan. Dia sudah menjalani ujian MRI pagi tadi (semalam) dan saya masih menunggu keputusan ujian itu.

“Saya melihat kecederaan yang dia alami tidak begitu teruk, tapi saya perlu menunggu keputusan ujian itu terlebih dulu. Memang saya berharap dia akan terus bersama pasukan,” katanya.

Ketika ini, Kim Swee mempunyai 28 pemain pelatih dan akan mengumumkan senarai akhir 20 pemain hari ini.

“Saya berpuas hati dengan prestasi dan komitmen pemain dalam latihan. Ketika ini boleh saya katakan sudah mempunyai pilihan 15 pemain manakala bakinya akan saya tentukan nanti,” katanya.

Malaysia yang kali terakhir meraih pingat emas Sukan SEA Jakarta 2011 akan menentang Brunei di Stadium Shah Alam pada perlawanan pertama Isnin ini.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 5:23am
d