arena

Wenger lega Giroud kekal

Oleh AFP

London: Pengurus Arsenal, Arsene Wenger melahirkan rasa “lega” mengenai keputusan Olivier Giroud untuk kekal selepas penyerang Perancis itu membantu pasukannya menang 4-3 ke atas Leicester City.

Giroud tampil dari bangku simpanan ketika Arsenal ketinggalan 2-3 pada aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris di Stadium Emirates dan selepas seorang lagi pemain gantian Aaron Ramsey menyamakan kedudukan, dia menanduk masuk gol kemenangan pada minit ke-85.

Kehadiran Alexandre Lacazette menyebabkan Giroud makin sukar mendapat tempat dalam kesebelasan utama Arsenal namun sesudah memberi peluang pemain berusia 30 tahun itu untuk meninggalkan kelab, Wenger teruja dia memutuskan sebaliknya.

“Ia fantastik. Saya membuka pintu buatnya kerana saya sedar amat penting baginya beraksi, tapi saya tidak mahu dia pergi,” kata Wenger kepada wartawan.

“Dia memutuskan untuk kekal dan ia satu daripada hari hebat dalam beberapa minggu terakhir buat saya. Dia seorang pemain yang fantastik, tapi dia juga ada tanggungjawab besar dalam skuad ini. Ia melegakan saya dia memutuskan untuk kekal di sini.”

Giroud melonjak tinggi mengatasi Harry Maguire untuk menyambut sepakan sudut Granit Xhaka dengan tandukan padu yang terkena palang gol sebelum melepasi garisan sekali gus gagal diselamatkan penjaga gol Leicester, Kasper Schmeichel.

“Jika anda seorang pengurus, anda berada di bangku simpanan dan apabila anda ketinggalan 2-3 dengan berbaki 20 minit, tapi kemudiannya anda menang 4-3, anda pasti terlalu gembira,” kata Wenger.

Pengurus Leicester, Craig Shakespeare berkata, beliau “kecewa” pengadil Mike Dean tidak melihat apa yang dianggapnya sebagai “bola jelas terkena tangan” oleh Mesut Ozil dalam laluan gol penyamaan Ramsey.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 8:31am
d