arena

Dovizioso catat masa terpantas

Oleh AFP

Spielberg, Austria: Pelumba Itali, Andrea Dovizioso mengungguli dua sesi latihan bebas semalam bagi perlumbaan MotoGP Austria di Spielberg, esok.

Dovizioso, naib juara di Austria tahun lalu di belakang seorang lagi pelumba Itali, Andrea Iannone, mencatat masa sepusingan terpantas satu minit 24.046 saat pada lewat sesi dalam cuaca mendung dan basah.

Penunggang berusia 31 tahun itu berakhir di depan pelumba Sepanyol, Maverick Vinales, yang mencatat 1:24.280 dengan jentera Yahama dan pelumba Honda, Dani Pedrosa ketiga 1:24.474.

“Kami bermula dengan perasaan yang bagus sekali lagi. Hari ini kami melakukan tugas yang amat baik,” kata Vinales.

“Terutama selepas ujian di Brno kami banyak meningkatkan pelarasan. Bagi esok, saya fikir amat penting untuk terus berlatih dengan elektronik dan juga daya pecutan, sesuatu yang amat penting di sini.”

Dalam pertarungan bagi kejuaraan MotoGP dunia, Vinales memberi tekanan kepada pendahulu kejuaraan dunia dari Sepanyol, Marc Marquez, yang hanya mampu mencatat masa ketujuh terpantas menunggang jentera Honda.

Marquez - pemenang di Jerman dan Republik Czech dalam dua perlumbaan terakhir - mendahului kejuaraan dengan perbezaan 14 mata di depan Vinales.

“Kami berpuas hati dengan prestasi hari ini,” kata Marquez.

Penunggang veteran Itali, Valentino Rossi, yang bergelut dengan selesema, berada di luar kelompok 10 pelumba teratas.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 10:33am
d