arena

Mudah buat Federer

Oleh AFP

BINTANG Switzerland, Roger Federer mengatasi Roberto Bautista Agut sekali gus semakin menghampiri kejuaraan keenam musim ini dengan kemenangan 6-4, 6-4 pada suku akhir kejohanan Masters Montreal, awal pagi tadi.

Federer membenam lima servis ace, melakukan hanya dua double fault dan menang 81 peratus daripada mata servis pertamanya dalam perlawanan selama 68 minit di gelanggang tengah.

Dia mendominasi di jaring, menang 21 daripada 25 mata.

“Ia berbaloi bermain agresif di sini di Montreal, lagipun saya berasa selesa bermain di jaring, jadi tidak salah banyak bermain di situ dan tak perlu bergelut dari garisan belakang,” kata Federer.

“Saya fikir saya bertindak baik sekali lagi, sekalipun agak sukar untuk mengawal bola. Saya mendapat rentak yang bagus.”

Federer layak ke separuh akhir dan bertemu Robin Haase dari Belanda, yang menewaskan Diego Schwartzman 4-6, 6-3, 6-3 pada perlawanan terdahulu.

Federer melakar kemenangan ketujuh berturut-turut ke atas pemain Sepanyol itu dan melebarkan rekodnya musim ini kepada 34-2. Dia memiliki lima kejuaraan dalam Jelajah ATP pada 2017.

Dia akan berdepan Haase kali kedua sepanjang kariernya. Kedua-duanya bertemu pada aksi play-off Piala Davis Kumpulan Dunia pada 2012 apabila Federer menang 6-1, 6-4, 6-4.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 1:50pm
d