arena

Rampas emas

Oleh BERNAMA

SUKAN SEA ke-29 peluang terbaik buat Malaysia merampas kembali pingat emas sukan karate dalam acara kumite berpasukan lelaki, sekali gus menamatkan penantian selama 26 tahun untuk mengungguli acara itu.

Jaguh karate negara Shaharudin Jamaludin berkata, atlet negara begitu bersemangat untuk merebut pingat emas acara itu di gelanggang sendiri selepas kali terakhir Malaysia melakukannya pada Sukan SEA Manila 1991.

Atlet berusia 29 tahun yang kembali menyertai skuad kebangsaan untuk temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 selepas empat tahun berehat yakin skuad kebangsaan tidak akan menghampakan negara dan mampu mencipta sejarah.

“Saya mula memburu emas dalam acara ini sejak 2007 tapi kalah dalam beberapa perlawanan akhir seperti pada tahun 2007 dan 2009, kami kalah dengan Vietnam, 2011 kami kalah dengan Indonesia dan kalah dengan Thailand pada 2013.

“Jangan biarkan negara lain rampas emas daripada Malaysia. Kita simpan emas yang diperoleh di negara ini, di tanah air sendiri,” katanya hari ini.

Shaharudin berkata, gandingannya dengan atlet kebangsaan seperti R Sharmendran, Ravin Vijaya Kumar, Somanroy Arulveeran, M Arvindran dan Prem Kumar Selvam mampu memberikan kejayaan buat pasukan negara.

Ikon karate negara itu adalah pemenang pingat emas acara kumite kategori 67 kilogram pada Sukan SEA 2011 di Indonesia. Dia juga meraih pingat gangsa pada Sukan SEA 2007, 2009 dan 2013 selain beberapa pingat untuk Malaysia dalam pelbagai kejohanan antarabangsa.

Acara karate tidak dipertandingkan pada temasya Sukan SEA 2015 di Singapura.

Shaharudin meninggalkan sementara sukan karate kira-kira empat tahun lalu kerana kecederaan bahu untuk mendapatkan rehat dan menunggu kecederaannya cukup pulih.

“Sukan SEA kali ini ‘kemunculan semula’ saya selepas kecederaan yang dialami. Saya sudah berlatih dengan jurulatih kebangsaan selama dua bulan dan sudah bersedia secara fizikal dan mental,” katanya.

Persekutuan Karate Malaysia (MAKAF) menyasarkan enam pingat emas daripada 16 acara yang disertai skuad kebangsaan, dijadualkan dari 22 hingga 24 Ogos di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Pencapaian terbaik skuad negara dalam acara karate pada Sukan SEA adalah ketika Malaysia menjadi tuan rumah pada edisi 2001 dengan sembilan pingat emas.

Disiarkan pada: August 12, 2017 @ 2:10pm
d