arena

Faiq senjata Brunei

Oleh Ajitpal Singh

Kuala Lumpur: Anak saudara Sultan Brunei, Faiq Jefri Bolkiah berharap pengalamannya bersama skuad remaja Leicester City akan membantu Brunei untuk melakar persembahan lebih bermakna dalam acara bola sepak temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) yang akan bermula esok.

Pemain berusia 19 tahun itu yang bakal memikul tanggungjawab selaku kapten Brunei berkata, pengalaman yang ditimba sepanjang berada di Leicester sudah menjadikan dirinya jauh lebih baik berbanding sebelum ini.

“Saya sudah bersama Leicester selama setahun... ia membantu saya dalam banyak aspek. Saya hadir ke Malaysia dengan penuh keyakinan dan saya sudah sedia untuk menyumbang keringat bersama pasukan,” kata Faiq yang tiba bersama skuad Brunei di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.

Faiq pernah menimba pengalaman bersama Southampton (2009-13), Arsenal (2013-14) dan Chelsea (2014-15) sebelum berpindah ke Leicester di mana dia beraksi dengan skuad remaja serta pasukan simpanan. Kerabat diraja Brunei itu mula bermain di Sukan SEA 2015 di Singapura tetapi pasukannya menamatkan saingan di kedudukan tercorot selepas gagal menang sepanjang lima aksi.

Brunei akan memulakan kempen Kumpulan A menentang Malaysia di Stadium Shah Alam malam esok dan skuad tuan rumah yang dikendalikan jurulatih Datuk Ong Kim Swee menjadi pilihan untuk menang.

Tetapi Faiq percaya pasukannya mampu mengejutkan Malaysia untuk sekurang-kurangnya seri selain cemerlang pada perlawanan seterusnya untuk layak ke separuh akhir buat kali pertama sejak temasya 1983.

Kumpulan A turut dihuni Myanmar, Singapura dan Laos.

Dia percaya kekuatan barisan depan Brunei akan membolehkan mereka mengejutkan tuan rumah.

“Kami mempunyai barisan tengah yang bagus dan jika mereka boleh menghantar bola kepada saya, saya akan cuba memecahkan benteng pertahanan lawan dan menjaringkan gol. Kita tunggu dan lihat.

“Pasukan kami sudah meningkat berbanding dua tahun lalu. Kami memulakan latihan untuk temasya kali ini sejak awal tahun lagi.

“Pemain juga lebih cergas berbanding sebelum ini dan saya pula sudah sedia selepas menamatkan sesi pramusim di England. Saya rasa kami ada peluang baik untuk mencuri mata pada pertemuan menentang Malaysia.

“Bagaimanapun, Malaysia bukanlah pasukan yang mudah untuk dikalahkan tetapi saya percaya kami boleh mencapai sesuatu jika semua pemain menumpukan perhatian terhadap tugas masing-masing,” kata Faiq

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 5:21am
d