arena

Makin hampir

Oleh AFP

Montreal: Bintang Switzerland Roger Federer (gambar) berjaya menewaskan Roberto Bautista Agut dalam usahanya menghampiri gelaran keenam musim ini dengan kemenangan 6-4, 6-4 pada aksi suku akhir Montreal Masters semalam.

Federer melakukan lima ace, dua double fault dan memenangi 81 peratus daripada servis pertamanya dalam aksi selama 68 minit. Dia mendominasi di jaring, menang 21 daripada 25 mata.

“Ternyata berbaloi bermain dengan agresif di Montreal, malah saya rasa selesa di jaring, jadi mengapa tidak menghabiskan masa di sana daripada bersusah payah menyelamatkannya dari garisan gelanggang,” kata Federer.

“Saya fikir saya melakukan tugas yang baik sekali lagi, biarpun sukar mengawal bola. Saya berjaya mendapatkan rentak yang sesuai.”

Federer melangkah ke separuh akhir di mana dia akan berdepan pemain Belanda Robin Haase yang menewaskan Diego Schwartzman 4-6, 6-3, 6-3 sebelum itu.

Bautista Agut bergelut dengan servisnya apabila servisnya dipatahkan tiga kali dan hanya menang 65 peratus daripada mata servis pertamanya.

“Hari ini, saya rasakan saya tidak dapat mengikut rentak perlawanan dan tidak dapat merasai gerakan bola dengan baik,” katanya.

“Roger bermain begitu pantas dan dia tidak mahu bermain rali dengan saya, jadi dia terus memukul ke jaring.”

Federer mencatat kemenangan ketujuh berturut-turut ke atas pemain Sepanyol dan memperbaiki rekod musim ini kepada 34-2. Dia memiliki lima gelaran Jelajah ATP tahun ini.

Dia akan berdepan pemain Belanda, Haas dalam pertemuan kedua sepanjang karier masing-masing.

Kedua-duanya pernah bertemu dalam aksi play-off Kumpulan Dunia Piala Davis pada 2012 di mana Federer menang 6-1, 6-4, 6-4.

Peluang Federer menjulang satu lagi gelaran musim ini semakin cerah apabila pilihan utama Rafael Nadal dikecewakan pemain nombor 143 dunia Denis Shapovalov dari Kanada kelmarin.

Shapovalov, yang memerlukan tiket wildcard untuk menyertai kejohanan itu meneruskan kisah dongengnya dengan menewaskan pemain Perancis Adrian Mannarino 2-6, 6-3, 6-4.

Mannarino menjadi pemain keempat ternama ATP minggu ini yang tewas kepada pemain kidal berusia 18 tahun itu.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 5:43am
d