arena

'Tunggu bos'

Oleh AFP

JUERGEN Klopp menegaskan masa depan Philippe Coutinho di Liverpool akan ditentukan oleh pemilik kelab itu ketika Barcelona membida untuk mendapatkan khidmat bintang Brazil yang meminta berpindah itu.

Coutinho berminat menyertai Barcelona dan penyerang Reds itu memohon berpindah 24 jam sebelum Liverpool membuka tirai kempen Liga Perdana Inggeris dengan keputusan seri 3-3 di Watford, semalam.

Pemain berusia 25 tahun itu, yang terlepas kunjungan ke Vicarage Road kerana kecederaan belakang, menjadi sasaran utama Barcelona untuk menggantikan Neymar berikutan perpindahan dengan rekod dunia pemain Brazil itu ke Paris Saint-Germain.

Tawaran Barca sebanyak £90 juta (RM503 juta) terhadap Coutinho ditolak minggu ini, menyebabkan pemain itu meminta berpindah.

Namun pemilik Liverpool berpangkalan di Amerika Syarikat, Fenway Sports Group, menegaskan dalam satu kenyataan kelmarin bahawa Coutinho tidak dibenarkan meninggalkan Anfield.

Ditanya mengenai situasi itu selepas perlawanan dengan Watford, bos Reds Klopp menyatakan masa depan Coutinho bukan boleh ditentukannya sendiri.

“Sebagai pengurus kelab bola sepak saya mempunyai bos dan jika bos memutuskan sebagai contoh, kami menjual seorang pemain atau kami tidak menjualnya, maka saya perlu menerimanya. Jika mereka tidak menjualnya, maka saya tidak akan terbabit lagi,” ujar Klopp.

“Saya bertanggungjawan terhadap semua pemain, bukan hanya seorang, dua atau tiga. Saya tidak boleh menyatakan mengenainya.”

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 8:34am
d