arena

Taring Terry tumpul

Oleh AFP

London: Cardiff meneruskan permulaan hambar John Terry (gambar) dalam Liga Kejuaraan Inggeris apabila dua gol Nathaniel Mendez-Laing mencetus kekalahan 0-3 Aston Villa, semalam.

Villa dijangka bersaing merebut tempat ke Liga Perdana Inggeris selepas mengikat bekas pertahanan England, Terry yang dilepaskan Chelsea hujung musim lalu.

Namun karier gemilang pemain berusia 36 tahun itu bersama juara Liga Perdana tidak mendatangkan kesan di divisyen dua dan Villa, yang diikat Hull pada aksi pembukaan musim, masih tidak menang selepas aksi di selatan Wales.

Cardiff mendahului pada pertengahan babak pertama apabila Mendez-Laing melonjak tinggi menanduk masuk hantaran silang Junior Hoilett.

Hoilett pula menjaringkan gol selepas setengah jam menerusi tandukan jarak dekat sebelum Mendez-Laing meluru dari kiri dan merembat masuk gol ketiga pada minit ke-71.

“Kami melakukan kesilapan teruk bagi gol pertama dan selepas itu beberapa kali di ambang memalukan. Ia satu peringatan keras buat kami,” kata pengurus Villa, Steve Bruce.

“Kami tidak menguasai perkara asas dengan baik dan kelihatan rapuh. Secara keseluruhan, ia malam yang sukar.”

Nottingham Forest menyertai Cardiff di puncak carta liga dengan enam mata selepas menang 4-3 di Brentford.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 10:33am
d