arena

Gol lewat Ocampos bantu Marseille

Oleh AFP

Paris: Pemain gantian Lucas Ocampos meraih gol kemenangan lewat 1-0 buat Marseille ketika pasukan dilanda kecederaan Nantes kendalian Claudio Ranieri mengalami kekalahan kedua berturut-turut dalam kempen Ligue 1, semalam.

Marseille menyertai Lyon - yang menang 2-1 di Rennes Jumaat lalu - secara sementara di puncak Ligue 1 untuk memberikan anak buah Rudi Garcia suntikan moral menjelang perlawanan pertama playoff Liga Europa berdepan kelab Slovenia, Domzale.

Saint-Etienne turut meraih mata maksimum di bawah kendalian jurulatih baru dari Sepanyol, Oscar Garcia, menghuni tangga ketiga menerusi perbezaan jaringan selepas gol babak kedua Romain Hamouma membantu kemenangan 1-0 di Caen.

Namun Nantes, pasukan kendalian bekas bos Leicester City, Ranieri menyusuli kekalahan 0-3 kepada Lille minggu lalu dengan satu lagi kekalahan selepas kecederaan yang tidak dijangka dalam setengah jam pertama.

Pertahanan kanan Leo Dubois disahkan kurang cergas sebaik sebelum sepak mula memaksa Ranieri merombak kesebelasan utamanya.

Pengendali dari Itali itu makin parah apabila pemain tengah Valentin Rongier mengalami kecederaan bahu dan terpaksa dikeluarkan disusuli penyerang Yacine Bammou dan pemain tengah Alexander Kacaniklic - kedua-duanya dengan masalah otot.

“Pertama kali dalam karier saya terpaksa menukar tiga pemain dalam tempoh 25 minit,” ujar Ranieri yang jelas kecewa.

“Tuah tidak menyebelahi kami kini. Tapi pengganti mereka bagus dan babak kedua amat baik.”

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 11:30am
d