arena

Kisner dahului satu pukulan

Oleh AFP

PEMAIN Amerika Syarikat, Kevin Kisner mendahului satu pukulan pada pusingan ketiga Kejohanan PGA ketika semua pencabar berhadapan kesukaran untuk menangani cabaran lapangan Quail Hollow, awal pagi tadi.

Kisner, pemenang tiga bulan lalu di Colonial, gagal menawan tiga lubang terakhir dengan baik tetapi menamatkan saingan dengan satu atas par 72 untuk keseluruhan tujuh bawah par 206 untuk permainan 54 lubang pada kejohanan utama terakhir tahun ini.

Pemain nombor tiga dunia, Hideki Matsuyama yang cuba muncul pemain Jepun pertama memenangi kejohanan utama mencatatkan 73 untuk berkongsi tempat kedua dengan catatan 207 bersama pemain Amerika Syarikat, Chris Stroud yang menang di Reno minggu lalu.

“Saya kecewa dengan cara saya bermain,” kata Matsuyama. “Bagaimanapun saya gembira kerana hanya ketinggalan satu pukulan dan masih mempunyai peluang esok.”

Matsuyama memenangi Kejohanan Golf Dunia minggu lalu di Akron dan meraih tempat kedua di Terbuka Amerika Syarikat, Jun lalu.

Kisner mencatat birdie pada lubang ke-14 dan 15 untuk mendahului dua pukulan tetapi pukulannya masuk ke air di lubang ke-16 dan gagal menyempurnakan putt sejauh 30 kaki untuk mencatatkan double bogey.

Di lubang ke-18, Kisner hanya mencatatkan bogey.

“Penamatnya teruk. Saya harap esok permainan saya lebih baik,” kata Kisner.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 12:58pm
d