arena

Pengiktirafan buat Terengganu

Oleh BERNAMA

PEMILIHAN Terengganu sebagai venue acara ekuestrian endurance atau kuda lasak pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 satu pengiktirafan terhadap negeri itu, kata Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman.

Beliau berkata, pemilihan itu melakar lagi cerita kejayaan buat negeri Terengganu di samping kejayaan anak jati negeri itu dalam bidang sukan, baik di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.

“Siapa yang tidak kenal juara dunia kita, Azizulhasni Awang atau dikenali ramai sebagai ‘The Pocket Rocketman’. Azizulhasni, Fatihah Mustapa, Adiq Husainie Othman, Anuar Manan dan Harrif Salleh, semuanya jaguh kelahiran Terengganu dalam sukan lumba basikal.

“Pada temasya Sukan SEA kali ini, saya juga dimaklumkan seramai 73 atlet anok (anak) jati Negeri Teganu (Terengganu) kita dipilih mewakili negara.

“Kita juga bertuah kerana dengan limpah perkenan Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku, Negeri Terengganu dipilih untuk venue sukan endurance. Syabas dan tahniah saya ucapkan,” katanya pada majlis prapelancaran acara endurance Sukan SEA KL2017, di Mini Stadium, Gong Badak, di sini, malam tadi.

Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan pelancaran acara itu.

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri Terengganu Datuk Mohd Zubir Embong dan Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan dan Sumber Manusia negeri Datuk Rozi Mamat turut hadir pada majlis itu.

Sementara itu, Rozi berkata, beliau berharap dua sasaran emas bagi acara endurance dapat dicapai oleh atlet negara berdasarkan persediaan rapi mereka.

“Kita sasar dua pingat emas daripada sukan endurance… saya (menaruh) harapan kepada atlet endurance Terengganu ini yang terbaik setakat ini, Insya-Allah,” katanya.

Seramai lima daripada enam atlet acara endurance adalah anak jati Terengganu iaitu Muhammad Fuad Hashim, Azizatul Asma Abdullah, Mohd Bulkhari Rozali, Mohd Adhwa Embong dan Muhammad Faris Haikal Mohd Hassan Sa’ari.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 1:15pm
d