arena

Federer teruja ke final

Oleh AFP

BINTANG Switzerland, Roger Federer memperagakan persembahan sempurna pada kejohanan Masters Montreal apabila menggunakan kehebatan servis dan pukulan backhand untuk menewaskan Robin Haase bagi menempah tiket ke final, awal pagi tadi.

Federer, 36, membenam sembilan servis ace dan hanya tewas sembilan mata menerusi servisnya ketika dia meneruskan rentetan kemenangan kepada 16 - catatan terbaiknya dalam tempoh lima tahun.

Dia meningkatkan tahap permainannya ke satu tahap pada ketika diperlukan apabila menewaskan pemain Belanda itu 6-3, 7-6 (7/5) dalam tempoh 75 minit.

“Saya amat teruja untuk kembali beraksi di final,” kata Federer. “Secara jujurnya agak mengejutkan kerana saya tidak banyak berlatih.”

Federer lebih kerap berehat tahun ini berbanding kebiasaannya. Dia tidak menyertai musim gelanggang tanah liat dari April hingga pertengahan Jun lalu.

“Saya balik daripada percutian, melakukan usaha memulih kecergasan, lihat apa yang saya rasa dan berkata, ‘Saya berlatih terlalu banyak tahun lalu, jom bermain beberapa perlawanan.”

“Ia satu bonus besar sekarang dan harapnya saya boleh bermain dengan bebas seperti setakat ini bagi final esok.”

Federer, pilihan kedua akan bertemu pilihan keempat dari Jerman, Alexander Zverev yang menundukkan pemain muda Kanada, Denis Shapovalov 6-4, 7-5 pada satu lagi separuh akhir dalam memburu kejuaraan keenamnya tahun ini.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 1:28pm
d