arena

Aiden, Adam sedia gegar Putrajaya

Oleh Firdaus Hashim

PASANGAN adik beradik, Aiden Yoong Hanifah dan Adam Yoong Hanifah bersedia menggegarkan Kompleks Sukan Air Marina Putrajaya dengan percikan emas apabila kedua-duanya berazam untuk mencipta kejutan.

Aiden, 12, yang meraih pingat gangsa dalam sukan luncur air pada edisi lalu di Singapura berkata, hasil latihan yang ditempuh selama tujuh bulan serta pendedahan pertandingan di peringkat antarabangsa banyak membantu memperbaiki aksinya.

“Saya dan adik (Adam) sudah berlatih agak lama semata-mata untuk menghadapi Sukan SEA di tempat sendiri.

“Menerusi latihan intensif dan tunjuk ajar yang kami terima, banyak kelemahan berjaya dikesan dan kami sudah tidak sabar untuk mengibar cabaran negara nanti.

“Saya harap dapat meraih pingat emas sekali gus memperbaiki pencapaian gangsa dua tahun lalu,” katanya yang akan bersaing dalam acara kegemarannya, tricks lelaki bersama Adam.

Bagi Adam, Sukan SEA kedua disertainya ini pasti berbeza kerana bakal beraksi di depan penyokong sendiri yang mampu memberi motivasi tambahan buat pasukan negara.

Kata peluncur berusia 10 tahun itu, pencabar utama yang mampu meranapkan impiannya untuk menggenggam emas sudah pastinya abangnya sendiri.

“Terus terang saya katakan, langsung tidak ada perasaan takut atau gementar sebaliknya saya sudah tidak sabar hendak beraksi.

“Cuma kalau tanya siapa pencabar terkuat saya nanti, sudah tentunya datang dari abang saya sendiri kerana dia tahu segala kelebihan dan kelemahan saya,” katanya.

Sukan ski air dan wakeboard yang dijadual berlangsung dari 25 hingga 29 Ogos ini menawarkan 11 emas dengan Majlis Sukan Negara menyasarkan dua emas dari sukan itu.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 6:58pm
d