arena

Fokus untuk emas

Oleh Firdaus Hashim

BIARPUN tewas pada aksi pemanas badan terakhir kepada China semalam, pengendali skuad futsal wanita negara, Muizzudin Haris tetap berpuas hati dengan prestasi anak buahnya.

Dia berharap segala kelemahan dapat diperbaiki sebelum bermulanya aksi pertama Sukan SEA menentang Myanmar, Jumaat ini.

Justeru, beliau mengingatkan semua 16 pemain agar sentiasa fokus sambil melontarkan keyakinan betapa mereka mampu meraih sesuatu pada temasya itu nanti.

“Saya berpendapat semua pasukan sudah melakukan persediaan dengan baik. Bagi pasukan saya, walaupun ada masalah dengan kehilangan beberapa tonggak utama dan kontroversi tetapi saya percaya kami juga sudah bersedia sepenuhnya.

“Sama seperti pasukan lain turut bertanding pada Sukan SEA ini, tujuan kita adalah meraih pingat jadi keputusan pada aksi persahabatan terakhir ini penting buat kami.

“Semalam (kelmarin) kami menang dan hari ini (semalam) tewas tetapi secara keseluruhannya saya berpuas hati dengan pemain.

“Untuk beberapa hari ini, kami akan perbaiki kelemahan yang ada sebelum turun pada perlawanan nanti,” katanya ketika ditemui sejurus tamat aksi kedua-dua pasukan di Kompleks Sukan Panasonic di sini, hari ini.

Malaysia meraih kemenangan bergaya 6-2 sebelum ini tetapi gagal mengulangi aksi sama apabila tumbang 3-4 kepada China.

Skuad kendalian Muizzudin akan membuka kempen Sukan SEA menentang Myanmar Jumaat sebelum turun menentang Indonesia, Vietnam dan juara bertahan, Thailand secara format round robin seperti edisi 2013.

Ditanya mengenai perlantikan ketua pasukan, beliau sahkan penjaga goo berpengalaman, Sity Norazizah Jamal dilantik bagi menggantikan Farahiyah Ridzuan yang digugurkan pada saat akhir ekoran kecederaan lutut kiri.

Disiarkan pada: August 13, 2017 @ 8:50pm
d