arena

Bolt gantung spike

Oleh AFP

BINTANG olahraga Allyson Felix dan Caster Semenya menyinari balapan pada hari terakhir Kejohanan Olahraga Dunia dengan penuh bergaya, awal pagi tadi.

Bagaimanapun bukan untuk kali pertama tetapi buat kali terakhir sebagai atlet, Usain Bolt mencuri tumpuan.

Bolt, pemegang rekod dunia 100m dan 200m, yang mengumumkan persaraannya secara rasmi, melakukan larian hormat sepusingan di depan 60,000 penonton di Stadium London yang tidak meninggalkan tempat masing-masing sekalipun semua acara akhir sudah tamat.

“Ia beberapa hari yang sukar dan ini satu saat paling menyentuh hati saya,” kata pelari Jamaica berusia 30 tahun itu merujuk kepada tragedi dia terjatuh di trek kerana kekejangan otot sebagai pelari terakhir 4x100m berganti-ganti 24 jam terdahulu.

“Saya sering mencuba yang terbaik dan memberikan 100 peratus komitmen sepanjang masa untuk memberikan persembahan yang bagus.”

Bolt kemudiannya melakukan larian hormat diiringi lagu “Reggae Nights” mendepangkan tangannya dan bertepuk tangan kepada penonton, menundukkan kepala di depan ibu bapanya di trek dan kemudian menamatkannya dengan gaya tersendirinya ‘lightning bolt’ sebanyak dua kali.

Di balapan, Allyson mempamerkan larian mantap 48.7 saat dalam membantu kuartet 4x400m wanita Amerika Syarikat mencatat kemenangan mudah dan membantunya mengumpul 16 pingat kejohanan dunia, dua di depan dua pelari Jamaica yang bersara, Merlene Ottey dan Bolt.

“Ia terlalu bermakna buat saya setiap kali menang,” kata Allyson apabila ditanya sama ada pingat itu memberikan motivasi kepadanya.

“Saya sukakan sukan ini. Saya bersyukur dapat berlari dengan wanita yang menakjubkan. Mereka bekerja keras dan berhak dengan kejayaan mereka.

“Satu penghormatan berlari dalam pasukan berganti-ganti AS dan saya akan kenang saat-saat ini.”

Bintang Afrika Selatan, Caster, yang kelihatan melenyapkan semua perdebatan mengenai sama ada dia patut berlari atau tidak, menokok pingat emas ketiga 800m bagi meletakkan dirinya di samping seorang lagi pelari hebat Afrika, Maria Mutola sebagai atlet wanita yang menang tiga kali.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 12:18pm
d