arena

'Mereka sedikit goyang'

Oleh Ferzalfie Fauzi

Kuala Lumpur: Memang mereka sedikit goyang tapi kita perlu fikirkan diri sendiri,” ujar Datuk Lee Chong Wei mengenai barisan pemain China tampil ke Kejohanan Dunia kali ini tanpa Li Yongbo yang meletak jawatan selaku ketua jurulatih April lalu.

Menurut Chong Wei, ia berbeza dengan apa yang berlaku kepada dirinya dan skuad negara kerana berjaya mendapat semula sentuhan Datuk Misbun Sidek selaku ketua jurulatih perseorangan lelaki.

“Bagi diri sendiri memang itu kelebihan apabila memiliki semula Misbun untuk Kejohanan Dunia kali ini. Setidak-tidaknya saya mampu beraksi lebih baik dan mempunyai keyakinan tinggi,” katanya ketika ditemui media di Kejohanan Badminton Berpasukan Seluruh Malaysia 2017 semalam.

Dia yang diletakkan pilihan kedua, mengakui pasukan China ada sedikit terjejas selepas ketiadaan Li Yongbo namun sebagai pemain bertaraf antarabangsa dia tidak mahu memikirkan apa yang berlaku kepada negara lain.

“Jangan fikir orang lain, yang penting kita sendiri,” katanya yang akan berangkat bersama skuad negara ke Glasgow esok.

Ditanya apakah yang dilakukannya sekarang tatkala Kejohanan Dunia semakin hampir dan undian juga sudah diketahui,bekas pemain nombor satu dunia itu berkata, dia tidak boleh melakukan apa-apa selain mendapat rehat mencukupi dan menjaga pemakanan.

“Latihan kecergasan dan taktikal kita sudah bersedia dalam tempoh sebulan, sekarang perkara paling penting fokus menjelang hari pertandingan,” kata Chong Wei.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 12:33pm
d