arena

Thomas ungguli Kejohanan PGA

Oleh AFP

DUA birdie menakjubkan dalam enam lubang terakhir membantu Justin Thomas melakar kemenangan sulung dalam kejuaraan utama apabila pemain ranking ke-14 dari Amerika Syarikat itu mengungguli Kejohanan PGA awal pagi tadi menerusi permainan mantap dalam sembilan lubang terakhir.

Pada hari yang menyaksikan lima pemain berkongsi kedudukan pendahulu buat seketika, Thomas mencatat tiga bawah par 68 untuk menamatkan 72 lubang dengan lapan bawah par 276 bagi kemenangan dua pukulan mengatasi pemain Afrika Selatan, Louis Oosthuizen, Francesco Molinari (Itali) dan Patrick Reed (AS).

“Saya sedar tidak kira apapun permainan saya, saya perlu bersabar,” kata Thomas. “Saya tahu saya mampu melaksanakannya dan hanya perlu mengelak sebarang kesilapan di luar sana.”

Thomas membenam birdie menerusi satu pukulan lambung menarik dari jarak 40 kaki pada lubang ke-13 par-tiga untuk mendahului dua pukulan sebelum melencongkan bola dari jarak 14 kaki ke sebelah kiri lubang untuk mencatat birdie pada lubang ke-17 par-tiga bagi kelebihan tiga pukulan, melakukan bogey pada lubang terakhir namun ia tidak menjejaskan.

“Untuk melakukan birdie di sana lebih daripada satu bonus,” kata Thomas mengenai lubang 17. “Lubang 13 amat istimewa.”

Thomas, 24, merangkul Trofi Wanamaker dan hadiah wang tunai AS$1.89 juta (RM8 juta) bagi kemenangan keempatnya musim ini selepas menjuarai CIMB Classic di Malaysia tahun lalu dan dua kejohanan di Hawaii Januari lalu, Kejohanan Juara-Juara dan Terbuka Sony.

Pemain nombor tiga dunia Hideki Matsuyama, yang cuba muncul pemain lelaki pertama Jepun meraih kejuaraan utama, mendahului selepas sembilan lubang pertama namun melakukan lima bogey dan tiga birdie pada sembilan lubang terakhir untuk berkongsi tangga kelima dengan bintang AS, Rickie Fowler dengan 279.

“Lapangan ini sukar dan saya agak kecewa dengan cara saya beraksi,” ujar Matsuyama.

Pemain Kanada, Graham DeLaet dan pendahulu selepas 54 lubang, Kevin Kisner dari AS satu pukulan lagi di belakang.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 12:55pm
d