arena

Enggan gangsa lagi

Oleh Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Atlet lawan pedang negara Natasha Ezzra Abu Bakar (gambar) mahu memastikan emas menjadi miliknya menerusi penampilan keempatnya pada temasya dwitahunan itu.

Sepanjang penampilan tiga edisi lalu, pencapaian terbaik atlet kelahiran Johor itu adalah sekadar gangsa di Jakarta 2011.

Namun dengan penampilan beraksi di halaman sendiri, Natasha amat berharap impian untuk mengucup emas dapat dipenuhi.

“Kalau bercakap mengenai sasaran, semua atlet pastinya mempunyai impian untuk memenangi emas, begitu juga saya.

“Tapi saya tidak mahu meletakkan tekanan ke atas diri sendiri.

“Sebab jika terlalu tertekan dan takut, ia hanya akan memberi impak negatif kepada diri sendiri. Jadi lebih baik saya lebih tenang dan fokus terhadap persiapan diri sendiri,” katanya yang akan beraksi menerusi acara foil.

Natasha berkata, setakat ini segala persiapan berjalan lancar dan dia juga sudah bersedia sepenuhnya.

“Kami sudah menjalani latihan di venue baru (MITEC) dan nampaknya segala-galanya agak baik.

“Harap saya dapat melakukan yang terbaik kerana akan turun pada hari pertama acara lawan pedang pada 21 Ogos ini.

“Kalau boleh saya tak mahu mengecewakan penyokong yang datang,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 1:10pm
d