arena

Flying Jantan tak takut Eric Cray

Oleh Aida Adilah Mat

BAGI pelari pecut negara Khairul Hafiz Jantan, tidak mustahil untuk merampas emas acara 100 meter di KL2017 yang kini dipegang pelari Filipina, Eric Cray.

“Tidak mustahil kali ini saya menang. Kalau memang dia berlari dalam 100m, saya sudah bersedia. Kehadiran Eric tidak memberi tekanan kepada saya.

“Latihan yang cukup dan banyak pendedahan di luar negara menjadikan saya lebih bersedia di Sukan SEA kali ini, namun saya juga mengharapkan doa rakyat Malaysia,” katanya pada majlis perlantikannya sebagai duta jam tangan jenama Suunto di Kuala Lumpur, hari ini.

Khairul yang mencatat masa terbaik 10.31 saat tahun ini, ketika meraih emas di Terbuka Thailand, Jun lalu, berada di landasan terbaik menghadiahkan emas berganda dan mengulangi pencapaian Nazmizan Mohamad ketika Sukan SEA Vietnam pada 2003.

Rekod kebangsaan 10.18s dalam acara 100m yang dilakukan ketika Sukan Malaysia (SUKMA) meletakkan Khairul sebagai pelari terpantas Asia Tenggara. Namun tugas getir menantinya apabila perlu berdepan Eric Cray.

Dua tahun lalu Eric dinobatkan jaguh Asia Tenggara dengan catatan 10.25s. Perak milik Yaspi Body 10.45s dan gangsa Iswandi 10.46s, masing-masing dari Indonesia.

Mengenai pelantikannya sebagai duta itu, Khairul Hafiz berkata ia memberi semangat dan cabaran kepadanya untuk mengejar masa lebih pantas di KL2017 seterusnya menamatkan penantian 14 tahun meraih emas dalam acara riben biru.

Khairul Hafiz mengucapkan terima kasih kepada Sunnto kerana memberi kepercayaan memilihnya sebagai duta.

“Terima kasih kepada Allah kerana memberi rezeki kepada saya, kepada jurulatih dan keluarga yang mendoakan kejayaan. Saya mengharapkan Stadium Nasional Bukit Jalil akan membawa tuah.

“Saya berjanji melakukan yang terbaik untuk membalas kepercayaan dan membawa nama jam ini.

“Ia menyuntik semangat untuk mencatat masa lebih baik,” katanya.

Sementara itu pada sidang media majlis itu, Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd (UFL), Datuk Radha Krishnan, mengumumkan insentif wang tunai RM4,500 dan barangan keluaran syarikat berkenaan kepada Khairul kerana berjaya memecahkan rekod kebangsaan berusia 49 tahun dalam acara 200m.

Malah Khairul akan turut menerima insentif RM2,000 jika berjaya meraih emas dalam acara 100m dan tambahan RM1,000 jika memecahkan rekod Sukan SEA.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 3:55pm
d