arena

Myanmar mula bergaya

Oleh Aziman Rosdi

PASUKAN pilihan Myanmar bawah 22 tahun (B-22) membuka kempen Kumpulan A Sukan SEA 2017 dengan bergaya apabila menewaskan Singapura 2-0 dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang sebentar tadi.

Dua jaringan menerusi penyerang lincah Aung Thu sudah cukup memberikan tiga mata kepada naib juara Sukan SEA Singapura dua tahun lalu itu.

Jurulatih Myanmar Gerd Zeise menurunkan enam pemain yang beraksi dengan skuad senior dan berjaya mendominasi sepenuhnya aksi babak pertama dengan Singapura pula lebih banyak bertahan.

Dua percubaan awal menerusi tandukan Mg Mg Lwin pada minit ke-7 dan Aung Kaung Mann (m-24) berjaya diselamatkan penjaga gol Singapura Zharfan Rohaizad.

Bagaimanapun ribuan penyokong Myanmar bersorak apabila rembatan penyerang Aung Thu berjaya memecah kebuntuan di minit ke-45.

Singapura cuba bangkit mencari gol penyamaan menerusi percubaan anak legenda Singapura Fandi Ahmad iaitu Ikhsan tapi rembatan leretnya sedikit tersasar.

Pada minit ke-61, Myanmar semakin selesa apabila Aung Thu yang beraksi dengan kelab Yadanarbon FC meledak gol kedua hasil umpanan Mg Lwin.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 6:17pm
d