arena

Shah terima cabaran baru

Oleh Azlan Muhammad Zain

PELUMBA trek negara Shah Firdaus Sahrom tidak berfikir panjang apabila diamanahkan untuk beraksi bagi acara 1 kilometer ujian masa walaupun ia adalah sesuatu yang baru bagi dirinya.

Shah Firdaus sememangnya menyerlah dan dilatih bagi acara keirin dan pecut bersama Azizulhasni Awang.

Namun apabila diberikan kepercayaan oleh ketua jurulatih John Beasley untuk beraksi dalam acara berkenaan, dia menerimanya dengan penuh tanggungjawab kepada negara.

“Saya percaya kepada perancangan dan keputusan yang dilakukan John. Dia mempercayai saya untuk beraksi dalam acara ini, jadi sudah pasti dia menaruh keyakinan yang tinggi dan percaya saya mampu melakukannya.

“Saya menerimanya dengan menyedari kami tidak mempunyai pilihan selain meraih emas sebanyak mungkin untuk negara,” katanya.

Menurutnya, dia tidak berpeluang menyertai sebarang pertandingan kompetitif untuk acara itu namun yakin dengan latihan yang dijalani di Melbourne bersama Beasley.

Turut menggalas cabaran dalam acara berkenaan ialah Mohd Fadhil Zonis dengan Thailand dilabel pencabar utama dua pelumba negara itu.

Shah Firdaus turut disenaraikan untuk acara pecut individu bersama Azizulhasni di Velodrom Nasional Malaysia.

Skuad berbasikal negara terutama bagi acara trek diletakkan sasaran untuk meraih 13 daripada 20 emas yang dipertandingkan.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 7:03pm
d