arena

Yang penting menang

Oleh Aziman Rosdi

JURULATIH skuad bawah 22 tahun (B-22) Datuk Ong Kim Swee gembira dengan tiga mata penuh selepas menundukkan Brunei meskipun jaringan 2-1 pada aksi pertama Kumpulan A di Stadium Shah Alam bukan keputusan meyakinkan.

Beliau berkata, walaupun anak buahnya banyak mensia-siakan peluang, namun misi mencari kemenangan tetap tercapai sebelum bertemu lawan lebih sukar, Singapura, esok.

“Ia baru perlawanan pertama, pemain kita banyak mencipta peluang dan Brunei menyukarkan kita dengan bertahan dan serangan balas. Namun kita menang, itu paling penting.

“Kita diperangkap kerana pemain ‘tertidur’ selepas mendapat gol awal. Namun mereka berjaya bangkit dan paling penting raih tiga mata,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, berkata skuad Malaysia ada potensi dan beliau berharap penyudah lebih tajam untuk aksi selepas ini.

“Patutnya kita boleh menang dengan jaringan lebih besar tapi banyak peluang dilepaskan.

“Bagaimanapun, ia tetap tiga mata berharga dan saya percaya masih banyak ruang boleh dipertingkat dalam aksi berikutnya.

“Syabas dan harap kita lebih menyerlah selepas ini,” katanya yang ditemui selepas perlawanan.

Sementara itu, jurulatih Brunei Kwon Oh-son, mengakui anak buahnya agak gementar dalam perlawanan pertama dengan sorakan penyokong tuan rumah.

“Pemain saya berusaha keras dalam perlawanan ini dan berjaya menyamakan kedudukan. Namun, gerakan ‘set-piece’ Malaysia memang bahaya dan berjaya menghasilkan gol.

“Kami akan menilai semua kelemahan dan akan perbaiki untuk perlawanan seterusnya,” katanya.

Disiarkan pada: August 14, 2017 @ 11:39pm
d