arena

Serik naik pesawat peribadi

Oleh AFP

PEMAIN nombor dua dunia Simona Halep melalui pengalaman menakutkan dalam perjalanan untuk menyertai kejohanan Masters Cincinnati dalam Jelajah WTA minggu ini selepas terbabit dengan penerbangan menggunakan pesawat peribadi mengerikan serta enam jam perjalanan darat.

Pemain Romania berusia 25 tahun itu tewas pada separuh akhir WTA Toronto dan dicadangkan menaiki pesawat peribadi buat kali pertama untuk berkunjung ke Cincinnati.

“Apabila saya melihat pesawat peribadi itu buat kali pertama, saya sudah takut,” kata Simona. “Ia terlalu kecil. Kami perlu singgah di Buffalo untuk pemeriksaan kastam AS. Saya kata cukuplah.

“Saya pucat lesi. Saya bagaikan tidak boleh bernafas. Saya kata, ‘Cukuplah, saya tidak tahan lagi.’ Pesawat itu terlalu laju. Saya mahu selamat mendarat.”

Berikutan itu, Simona dan jurulatihnya Darren Cahill menyewa kereta dan bergilir-gilir memandu selama enam jam dari Buffalo ke Cincinnati. Simona memandu selama dua jam dan selebihnya menikmati pemandangan sekeliling.

“Kebanyakannya hanyalah pokok,” katanya. “Pemandangan memang amat menarik.”

Bagi pesawat persendirian, dia masih mahu mencubanya selepas ini sekalipun berkias.

“Pesawat besar boleh,” ujarnya. “Pesawat kecil tidak. Tidak sama sekali.”

Disiarkan pada: August 15, 2017 @ 9:38am
d